Realme hari ini telah melancarkan peranti Android pertama secara komersial yang menyokong ciri seakan Dyanmic Island. Peranti ini adalah Realme C55 dengan ciri Mini Capsule.

Realme C55 adalah sebuah peranti asas yang cuba nampak premium. Ia hadir dengan skrin IPS LCD 6.72″ yang menyokong resolusi FHD+ serta kadar segar semula 90Hz. Peranti dijana dengan cip MediaTek Helio G88 dan dipadankan dengan pilihan memori 6/128 GB dan 8/256 GB. Peranti ini turut menyokong memori maya sehingga 8GB RAM tambahan.

Untuk kamera pula Realme menggunakan konfigurasi 64MP kamera utama + 64MP kamera AI (64+2 Megapixel) dan kamera swafoto 8MP. Bateri pula adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas SuperVOOC 33W. Realme C55 menjalankan Realme UI 4.0 Android 13 dengan beberapa ciri dan fungsi mirip peranti Oppo dan OnePlus dalam kelas premium.

Sokongan Mini Capsule pada peranti ini masih di bawah Realme Lab dengan ciri dan fungsi tambahan akan ditambah dalam kemaskini akan datang. Ketika pelancaran hanya sokongan paparan status pengecasan sahaja dapat digunakan.


Realme C55 turut hadir dalam rekaan moden yang kini digunakan ramai iaitu rata pada setiap sisi, skrin dan belakang. Terdapat dua bonggol kamera bulat dan menawarkan dua pilihan warna iaitu Sunshower atau Rainy Night yang ada corak bergaris yang turut memberi cengkaman tambahan pada peranti.

Di Malaysia Realme C55 dijual pada harga RM699 untuk 6/128 GB dan RM799 untuk 8/256 GB. Pra-tempahan bermula pada hari ini 28 Mac sehingga 30 Mac dan pembeli boleh dapatkan Realme Buds 2 Neo dengan jaminan 6 bulan tambahan percuma. Realme turut akan mengadakan jerayawara sempena pelancaran peranti ini bermula 31 Mac – 2 April di Sunway Velocity dan di Genting Highland pada 7 – 9 April.