Terdapat dua jenis usia pada seseorang manusia. Sebagai contoh usia sebenar Cristiano Ronaldo ialah 38 tahun tetapi usia biologi tubuh beliau ialah sama seperti insan berusia 23 tahun kerana dijaga dengan baik. Menurut kajian terkini yang dilakukan oleh saintis dari King’s College London, usia biologi tubuh pesakit mental adalah lebih tua berbanding usia sebenar. Ini adalah sebab mengapa mereka biasanya mempunyai hayat lebih pendek dan menghidap penyakit yang biasanya hanya ditemukan pada individu yang lebih tua.

Data daripada 176 metabolit darah daripada 110,780 peserta UK Biobank telah dianalisa oleh Dr Julian Mutz dan Prof Cathryn Lewis. Profil metabolit daripada peserta yang berkata mereka mempunyai isu penyakit mental didapati adalah lebih tua daripada sepatutnya. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai penyakit bipolar mempunyai profil metabolit 2 tahun lebih tua berbanding usia fizikal.
Hasil kajian telah dibentangkan di The European Congress of Psychiatry. Menurut Dr Mutz, hasil kajian bersama beliau mungkin boleh mengubah cara kesihatan fizikal orang yang mengalami penyakit mental dipantau dan cara menilai keberkesanan rawatan yang bertujuan untuk meningkatkan kesihatan fizika.
- Sumber
- Eureka Alert