Cari @ Amanz

HP baru-baru ini telah memperkenalkan sejumlah siri komputer riba yang dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru, dan juga memperkenalkan sebuah komputer riba baru dengan rekaan nipis yang juga tampil dengan prestasi serba berkuasa.

HP Omen Transcend 16 ialah komputer riba kelas hibrid gaming dan produktiviti yang memperlihatkan HP menggunakan aloi magnesium untuk membangunkan sebuah rangka komputer riba yang nipis dan juga ringan.

Komputer riba ini dilengkapi dengan pilihan paparan mini LED 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 240Hz. Ia juga mempunyai pilihan paparan IPS biasa dengan resolusi 1920×1200 dengan kadar segar semula 165Hz.

Paparan Mini LED ini dilihat hadir dengan nilai kecerahan yang sangat tinggi, iaitu 1180 nit, dan mempunyai sokongan teknologi paparan HDR1000 yang menjanjikan pengalaman menonton dan gaming yang cerah tetapi juga mempunyai kejituan warna yang cukup baik sekali.

Dari segi komponen dalaman, komputer riba ini dilengkapi dengan pilihan CPU sehingga Intel Core i9-13900HX dengan pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB. Dari segi pilihan GPU pula, Omen Transcend 16 ini hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070.

Dari segi palam, komputer riba ini dimuatkan dengan dua palam USB 3.2 Type-A, dua palam Thunderbolt 4 dan satu palam DisplayPort 1.4 dan satu palam HDMI 2.1.

Dengan binaan ini, HP Omen Transcend 16 ini hadir dengan ketebalan 19.9mm dan berat 2.1kg sahaja, dan walaupun ia hadir dengan saiz besar, yang membolehkannya mudah dibawa kemana-mana, dan pengecasan menggunakan USB Type-C membolehkan anda membawa hanya satu pengecas peranti, meringankan lagi beban beg anda.

HP mengatakan bahawa HP Omen Transcend 16 ini akan hadir di sejumlah pasaran terpilih bermula pertengahan tahun ini pada harga permulaan $1699.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd