Jika anda bertuah dan telah berusia hampir 40 tahun, anda pastinya tahu kemajuan teknologi yang sentiasa ingin membawa pengguna ke dunia yang berlainan, realiti yang berbeza dari yang sekarang. Perihal penciptaan set gogal atau set kepala realiti maya telah bergiat lama, namun ia menunjukkan kematangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kematangan industri set kepala realiti maya ini dibuktikan dengan kepelbagaian produk tersebut, baik dari pengeluar konsol permainan, dan juga jenama peranti lain. Pico merupakan satu startup dari China yang ditubuhkan pada Mac 2015, dan sejak dimiliki oleh ByteDance pada September 2021, startup ini berkembang pesat, malah mula menembusi pasaran negara-negara diluar China.
Dan pada GDC 2023, Pico telah membuka reruai besar bagi mempamerkan set realiti maya mereka, lengkap dengan sudut permainan walaupun set tersebut masih tidak dijual secara rasmi di Amerika Syarikat. Selain dari menyediakan ruang permainan untuk hadirin mencuba, mereka turut mengadakan sesi bersama pembangun dan kami sempat bertemu Zhang Jian, iaitu Ketua Kejuruteraan Enjin & Runtime Pico XR.
Semua Model Set Kepala Realiti Maya Pico Adalah SDK
Dalam pembuatan perisian, SDK atau merupakan ringkasan kepada Software Development Kit merupakan perkara terpenting yang perlu dimiliki oleh pembangun. Kadangkala, bagi memiliki SDK ini merupakan satu perkara yang memakan kos, lebih-lebih lagi dalam pembuatan permainan, pembangun terpaksa membeli SDK bagi membangunkan dan menguji permainan tersebut.
Zhang Jian menyatakan, Pico sedar akan hal ini dan membuatkan kos permulaan untuk pembangun tidaklah terlalu tinggi. Malah pembangun hanya perlu memiliki set realiti maya Pico untuk mula membangunkan aplikasi, dengan mengaktifkan ‘Developer Mode’. Jadi kesemua set realiti maya Pico sedia digunakan sebagai SDK, sejak dari kotak lagi.
Masa ‘Porting’ Permainan Kepada Pico Adalah Pendek, Namun Perlukan Masa Untuk ‘Polish’
Didalam industri permainan, kadangkala kebanyakan studio permainan akan membangunkan permainan untuk satu platform terlebih dahulu, sebelum menukarkannya (porting) untuk platform lain pada kemudian hari. Hanya studio-studio pembangun yang besar yang biasanya mampu melancarkan permainan pada hari pertama, tersedia untuk semua platform.
Apabila ditanyakan kepada Zhang Jian berkenaan isu pembangun yang biasanya akan mengambil masa untuk ‘porting’ permainan tersebut, beliau menjawab ia tidak menjadi masalah dalam platform Pico kerana ‘porting’ kebiasannya dapat dilakukan dengan pantas kerana Pico menyokong platform pembangunan popular seperti Unity SDK dan juga Unreal SDK.
Malah Pico juga turut menyokong OpenXR jadi sekiranya projek, permainan mahupun aplikasi yang dibangunkan itu adalah dalam OpenXR, maka ia tidak mengambil masa untuk pembangun melakukan porting untuknya.
Namun tambah Zhang Jian lagi, apa yang menjadi persoalan utama adalah untuk melakukan penggilapan perisian (polishing) untuk permainan yang telah di-port-kan. Ini kerana untuk apa sahaja perisian yang telah melalui porting, akan terdapat cabaran dalam menyempurnakan dan memastikan perisian yang telah dihasilkan sebelum ini, beroperasi dengan baik dalam platform terbaharu.
Dan sekiranya permainan tersebut dibangunkan tanpa pemahaman mengenai realiti maya, ia mungkin tidak sesuai dimainkan secara realiti maya jadi penggilapan permainan tersebut adalah penting bagi menjamin pengalaman pemain sewaktu memainkannya.
Dalam sesi berlainan, Zhang Jian turut menunjukkan betapa mudahnya porting dilakukan untuk permainan sedia ada, termasuklah permainan yang dibangunkan untuk set realiti maya Meta Quest, dan dapat dipakejkan semula untuk beroperasi pada set realiti maya Pico.
Raytracing Pada Realiti Maya
Salah satu perkara menarik dalam pembangunan permainan masa kini adalah fungsi ‘Raytracing’ yang membuatkan kualiti visual permainan lebih cantik dan sangat mengujakan. Dalam arena telefon pintar, cip pemprosesan telah mula dilengkapi dengan kebolehan Raytracing namun tiada permua yang menyokongnya.
Apabila ditanyakan berkenaan Raytracing pada set kepala realiti maya Pico, Zhang Jian berkongsi yang mana ia tertakluk kepada kesediaan cip pemprosesan Snapdragon. Sehingga kini set kepala realiti maya Pico 4 dikuasakan dengan cip Snapdragon XR2 namun untuk sebarang pengalaman dengan fungsi Raytracing, ia mungkin hanya tersedia sekiranya set kepala pada versi terbaharu turut dilengkapi dengan cip yang bersesuaian.
Zhang Jian turut menambah yang mana sehingga kini, set realiti maya Pico dibina dengan penuh fokus untuk keselesaan pengguna, dengan optimasi pada kadar pendam masa dan juga FPS menitikberatkan pengguna supaya tiada sebarang ‘motion sickness’ berlaku. Dan dari reaksi pengunjung reruai serta penyertaan pembangun dalam bengkel yang disediakan Pico, nampak jelas sekali usaha Pico dalam bersaing dalam dunia realiti maya.
- Sertai: Komuniti Pembangun Pico