Cari @ Amanz

Lenovo terkenal dengan siri komputer riba Yoga yang menggabungkan ciri premium cukup menarik, baik dari aspek rekaan mahupun fungsi utama. Misalnya seperti Lenovo Yoga Pro 9i yang kini rasmi dengan pilihan panel Mini-LED PureSight Pro untuk pengalaman paparan lebih jelas dan realistik. Di samping perkakasan dalaman terkini CPU Intel generasi ke-13 Raptor Lake dan GPU NVIDIA RTX 4070.

Komputer riba ini boleh didapati dalam dua saiz skrin iaitu 16-inci dan 14.5-inci. Ini dipadankan pula dengan pilihan panel LDC atau Mini-LED dengan resolusi mencapai 3.2K (3200×2000 piksel) dan kadar segar semula 165Hz. Skrin juga mempunyai kemampuan gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan mencapai 1200nits, masa tindak balas 3ms dan menyokong Dolby Vision.

Pilihan CPU pula sehingga Intel Core i9-13905H yang juga menggabungkan GPU sama ada Intel Iris Xe atau NVIDIA GeForce RTX 4070. Memori pula terdiri dengan 16GB/32GB/64GB LPDDR5X dan storan sehingga 1TB PCIE Gen 4. Melengkapi kedua-dua komputer riba juga bateri berkapasiti 75Whr, di samping enam pempesar suara pada model 16″ dan empat pula pada model 14.5″.

Pilihan I/O pula terdiri dengan 1 x Intel Thunderbolt 4 (USB 3.2 Gen 2 DP 1.4, PD 3.0), 1 x USB Type-C, 1 x HDMI 2.1 (12Gbps), 1 x SD Card, 1 x USB A 3.2 Gen 1 dan 1 x USB A 3.2 Gen 1. Terdapat kelebihan pada model 14.5″ yang turut memuatkan bicu audio 3.5mm. Ketersediaannya pada bulan Mei akan datang dengan harga jualan bermula $1,799.99 (~RM7,916) untuk model 16″. Sementara itu bermula $1,699.99 (~RM7,477) untuk Lenovo Yoga Pro 9i dengan skrin 14.5″.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd