Siri komputer Alienware oleh Dell merupakan diantara siri komputer riba yang paling premium di pasaran sekarang. Pada awal tahun ini, mereka telah mengumumkan kemaskini kepada sejumlah pilihan komputer riba gaming mereka, dan nampaknya model-model tersebut telah memasuki pasaran tempatan.
Dua model komputer riba yang dapat diperlihatkan ialah Alienware m16 dan juga Alienware m18, masing-masing menawarkan paparan skrin IPS ComfortView bersaiz 16 dan 18 inci dengan pilihan resolusi QHD+, QHD dan Full HD+ dan kadar segar semula dari 165Hz ke 240Hz bergantung kepada pilihan.
Kedua-dua komputer riba ini juga dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i7-13700HX dan Intel Core i9-13900HX, bersama pilihan memori DDR5 dari 16GB sehingga 64GB dan storan SSD PCIe sehingga 4TB.
Kedua-dua komputer riba ini juga hadir dengan pilihan kad-kad grafik NVIDIA yang terbaru termasuklah NVIDIA GeForce RTX 4060, GeForce RTX 4060, GeForce RTX 4080 dan GeForce RTX 4090. Untuk model Alienware m16, terdapat juga satu pilihan tambahan iaitu NVIDIA GeForce RTX 4070.
Kesemua kad-kad grafik ini mampu menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi dan juga tetapan yang tinggi tanpa masalah.
Pembeli juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan papan kunci mekanikal terbina yang menggunakan suis Cherry MX berprofil rendah untuk pengalaman menaip dan gaming yang lebih selesa.
Pilihan palam pada komputer riba ini juga dilihat cukup banyak, termasuklah dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, palam DisplayPort 1.4, HDMI 2.1 dan palam Ethernet RJ-45 untuk sambungan internet berwayar. Ia juga hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E.
Jika anda berminat untuk mengkonfigurasi komputer riba Alienware m16 dan m18 anda sendiri, anda boleh ke laman web Dell Malaysia untuk memilih komputer riba yang paling bersesuaian untuk anda.
Alienware m16 dan Alienware m18 masing-masing hadir dengan tanda harga permulaan RM10,999 dan RM11,999 bergantung kepada konfigurasi yang anda pilih.