Cari @ Amanz

Teks oleh – Rihhadatul Aisy

Meski kita telah melangkah ke bulan suci Ramadan, penggunaan platform media sosial utama tetap saja menunjukkan tren serta kadar penggunaan yang tinggi setiap hari. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan tahap kebergantungan masyarakat hari ini terhadap media sosial.

Walau bagaimanapun, kandungan-kandungan yang disajikan menerusi media sosial ada kalanya tidak bersesuaian dengan had usia atau kehendak seseorang individu itu secara peribadi. Demikian itu, signifikan sepanjang Ramadan yang dianggap sebagai bulan mulia dan suci oleh umat Islam, penting untuk kita menjaga deria khususnya penglihatan bagi mengelakkan pahala puasa terjejas disamping mampu meningkatkan kualiti puasa. Maka, penggunaan tetapan untuk had kawalan umur yang disediakan oleh kebanyakan platform media boleh dimanfaatkan.

Berikut adalah cara menapis kandungan pada aplikasi popular TikTok, YouTube, Twitter, Instagram dan Google Chrome.


Tiktok

Tiktok membolehkan penggunanya untuk menghidupkan Restricted Mode dan Penapis Kata Kunci (Filter Video Keywords) bagi menapis kandungan yang tidak diingini untuk memelihara pahala puasa. Bagi menghidupkannya, mudah saja.

  1. Tekan pada bahagian Profil
  2. Pergi ke Setting and Privacy.
  3. Tekan Content Preferences.
  4. Pilih Filter Video Keywords atau Restricted Mode mengikut tetapan yang anda mahukan.
  5. Jika anda memilih Restricted Mode, tekan Turn On > Masukkan kod laluan
  6. Letakkan pin 4 angka.
  7. Tekan Next.
  8. Masukkan pin 4 angka yang sama sekali lagi.
  9. Tekan Set.
  10. Pada bahagian Penapis Kata Kunci , pengguna boleh menetapkan perkataan untuk jenis video yang hendak ditapis. Misalnya seperti perkataan “jedag jedug” > For You & Fllowing > Save.

Maka dengan itu tidak akan ada kandungan video Tiktok yang memiliki unsur kerendahan nilai moral atau tidak sopan yang disunting menggunakan lagu dangdut remix dipaparkan di FYP (For Your Page) pengguna. Hal ini kerana, apabila Penapis Kata Kunci dihidupkan, pengguna tidak akan dapat lagi melihat kandungan video Tiktok yang mengandungi perkataan tersebut di dalam deskripsi videonya.


YouTube

Youtube juga memiliki tetapan Restricted Mode yang berfungsi lebih kurang sama dengan platform sosial media yang lain dengan bertujuan untuk mengehadkan pengalaman menonton di Youtube. Perkara ini sudah pastinya agar kandungan video dewasa seperti video yang memiliki usur keganasan atau “dewasa” tidak akan ditunjukkan kepada pengguna yang menghidupkan Restricted Mode. Untuk menghidupkannya anda hanya perlu.

  1. Tekan ikon Profile
  2. Pilih Settings > General
  3. Pilih Restricted Mode.

Twitter

Sama juga dengan di Twitter, pengguna boleh memilih untuk mematikan tetapan bagi paparan media yang mungkin mengandungi kandungan yang sensitif agar kandungan sensitif disembunyikan daripada paparan garis masa akaun Twitter anda. Kaedah ini boleh dilakukan oleh pengguna-pengguna aktif Twitter sepanjang bulan puasa bagi mengelakkan anda membaca atau menonton kandungan-kandungan sensitif yang menjejaskan pahala puasa anda seharian.

  1. Pergi ke bahagian Settings & Support > Settings and Privacy.
  2. Tekan Privacy and safety.
  3. Tekan Content you see.
  4. Matikan butang Display Media That May Contain Sensitive Content.

Instagram

Instagram turut menyediakan ciri kawalan kandungan sensitif buat para penggunanya yang mahu mengehadkan kandungan paparan di bahagian Explore. Tiga pilihan disediakan untuk pengguna bagi memilih tetapan mengikut kehendak mereka iaitu More, Standard dan Less. Untuk mengaktifkannya mudah.

  1. Pergi ke Settings and Privacy di bahagian Profil.
  2. Tekan Sensitive Content.
  3. Pilih dan tekan tetapan More, Standard atau Less mengikut kehendak anda.

Google Chrome

Pada enjin carian Google Chrome, turut disediakan tetapan SafeSearch yang berfungsi membantu pengguna menapis kandungan-kandungan eksplisit daripada paparan hasil carian di Chrome. Kandungan eksplisit yang dimaksudkan ialah seperti kandungan bahan media yang memiliki unsur-unsur keganasan, seks dan sebagainya.

Pengguna boleh menghidupkan tetapan SafeSearch ini di bahagian Settings akaun Google Chrome masing-masing. Walau bagaimanapun, harus diingatkan bahawa tetapan SafeSearch ini hanya berfungsi pada enjin carian Google Chrome dan tidak berfungsi pada enjin carian yang lain. Caranya mudah.

  1. Tekan ikon akaun anda yang biasanya berada di bucu atas kanan aplikasi.
  2. Pergi pula ke Settings > Safe Search.
  3. Tekan pada butang on/off untuk menghidupkannya.

Demikian itu ciri-ciri tetapan ini pastinya membantu mewujudkan batas terhadap kandungan yang anda layari di media sosial sepanjang bulan puasa ini. Dalam erti kata lain, kemungkinan pahala puasa anda terjejas teruk dapat dielakkan. Diharapkan semua pembaca Amanz dapat menyempurnakan ibadah puasa tahun ini di samping meningkatkan ketakwaan sepanjang Ramadan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd