OnePlus hari ini telah melancarkan OnePlus 11 Jupiter Rock iaitu edisi khas peranti OnePlus 11. Peranti ini menggunakan panel belakang yang unik iaitu batu mikrokristal yang pertama kali digunakan pada sebuah telefon pintar dalam sejarah teknologi.
Peranti menggunakan skrin 6.7″ Super Fluid AMOLED LTPO3, QHD+, 120Hz, Dolby Vision, dijana Snapdragon 8 Gen 2 dan dipadankan dengan memori 16GB RAM UFS 4.0 berserta 16GB RAM LPDDR5X. Kamera juga sama iaitu 50+48+32 Megapixel dan kamera swafoto 16 Megapixel. Bateri pula adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 100W SuperVOOC.

Kemasan panel belakang batu ini dikatakan memberi cengkaman tambahan serta akan membuatkan tangan pengguna berasa sejuk dan mempunyai perasaan yang unik dan tidak pernah disentuh sebelum ini. Berdasarkan imej ia kelihatan seakan kemasan marmar. Proses membuat panel ini juga dikatakan menggunakan teknik semula jadi untuk kemasan seakan permukaan planet Jupiter.

OnePlus 11 Jupiter Rock ini turut menggunakan warna keemasan di kelilingnya bagi nampak lebih premium dan cantik. Di China OnePlus turut mengimbau kenangan silam mereka yang gemar hadir dengan panel belakang unik seperti buluh pada OnePlus One, kemasan seakan kertas pasir, kemasan lembut seakan kulit bayi dan sutera serta kini seakan batu.

Harga jualan di China adalah RMB4,899 iaitu sekitar RM3139. Setiap pembelian turut didatangkan dengan kotak istimewa serta pin SIM edisi khas. Tidak pasti jika OnePlus akan membawa peranti ini ke pasaran Malaysia ataupun tidak. Apa pendapat anda mengenai telefon pintar yang diperbuat daripada batu?