Cari @ Amanz

Keluar sahaja model baharu telefon lama akan secara magis mula meragam. Kami yakin ini adalah pengalaman yang kalangan pembaca pernah alami. Telefon pintar yang tidak bernyawa akan mula “merajuk” tatkala model baharu mula dijual. Membuka aplikasi terasa lambat dan pemilik mula nampak kekurangan yang selama ini ditutup dengan hijab daripada dilihat.

Dengan Samsung Galaxy S23 Ultra telah mula dipasarkan di Malaysia sejak lebih sebulan yang lalu, persoalan mula kami terima mengenai sama ada berbaloi ataupun tidak menaik taraf daripada model lama. Dalam ulasan yang diterbitkan sebelum ini, kami mengatakan pengguna S22 Ultra mungkin tidak perlu melompat ke modal yang terkini buat masa ini. Bagaimana pula dengan pemilik model lama seperti S20 Ultra yang sudah terjual lebih tiga tahun yang lalu.

Untuk memudahkan penilaian kami memberikan sebab mengapa kemas kini ke model terkini adalah berbaloi berdasarkan beberapa 6 kategori utama – Skrin, S Pen, Pemproses, Kamera, Bateri dan Perisian.

SKRIN

Skrin S23 Ultra sebesar 6.8″ sebenarnya lebih kecil berbanding S20 Ultra dengan skrin 6.9″. Tetapi skrin S23 Ultra adalah lebih luasa kerana ia berkotak dan bukan dari jenis bucu dibulatkan seperti yang boleh dilihat pada model S23+ tahun ini. Lebih penting sekali ialah skrin S23 Ultra adalah dari jenis LTPO membolehkan kadar segar semula secara 1-120Hz berubah secara dinamik. Bandingkan dengan S20 Ultra yang hanya menyokong 60Hz atau 120Hz.

Kelebihan ini membawakan penjimatan penggunaan kuasa bateri yang ketara kerana peranti dengan bijak memilih kadar segar semula paling sesuai. Ia mencanak naik ke 120Hz untuk permua bagi menawarkan pengalaman gaming yang paling lancar sebelum turun ke 1Hz sahaja untuk mod membaca aplikasi ebuku kegemaran. Pepatah Bahasa Inggeris ada berkata saiz bukan segalanya dan dalam situasi skrin S20 Ultra ini ternyata benar.

S PEN

Perubahan besar dilakukan oleh Samsung pada tahun 2021 dengan siri Galaxy Note telah dihentikan. Ini menjadikan Samsung Galaxy S20 Ultra peranti yang masih belum menyokong ciri stylus S Pen pada skrin. Pada S23 Ultra sokongan S Pen bukan sahaja diberikan sepenuhnya tetapi turut hadir dengan tempat simpanan khusus terbina pada tubuh. Ini menyelesaikan isu yang wujud pada S21 Ultra yang menyokong S Pen tetapi tanpa tempat simpanan sehingga memerlukan kerangka khas yang perlu dibeli berasingan.

S Pen pada S23 Ultra boleh digunakan untuk melakar terus pada skrin, hadir dengan ciri difahami pada kotak carian Google, boleh digunakan sebagai alat kawalan untuk aplikasi kamera dan boleh beroperasi tanpa perlu dicas. Bagi pengguna profesional yang inginkan kejituan stylus pada sebuah telefon pintar moden, S23 Ultra ialah terbaik dalam kelasnya.

PEMPROSES dan PRESTASI

Cip mercu Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy menjadi enjin yang memastikan S23 Ultra mempunyai prestasi yang benar-benar ultra. Semua jenis permua dan aplikasi berat boleh dijalankan dengan lancar. Bagi peminat permua isu pemanasan melampau tidak berlaku memastikan sesi permainan video bukan sahaja lancar tetapi tidak terasa seperti membakar tangan. Dalam makmal Amanz, S23 Ultra adalah antara peranti teratas dalam beberapa ujian penanda aras utama.

Pada S20 Ultra, cip Exynos 990 yang dahulunya mercu kini sudah agak berusia. Isu pemanasan akan muncul apabila memainkan permua yang memerlukan grafik tinggi. Kadar bingkai mula terjejas kerana cip lama perlu menjalankan permua yang lebih moden.

Prestasi pada S23 Ultra juga jauh lebih baik kerana dibantu memori serta storan yang lebih pantas. Storan UFS 4.0 pada S23 Ultra misalnya membolehkan aplikasi dilancarkan hampir sekelip mata. Kami juga menyedari pemasangan aplikasi juga pantas. Bagi yang tidak suka menunggu, S23 Ultra adalah sepantas kilat.

KAMERA

Kamera ialah penambahbaikan terbesar dilakukan oleh Samsung tahun ini pada siri Galaxy S. Sensor utama mencecah 200MP membolehkan gambar yang lebih tajam, terang dan kurang hingar diambil khususnya pada waktu malam. Menerusi teknologi pengimejan terkini, prestasi zum juga semakin baik dengan imej masih nampak tajam serta jelas walaupun pada tetapan 30X zum. Setakat ini kami di Amanz masih merasakan S23 Ultra ialah peranti dengan kemampuan zum terbaik di pasaran.

S20 Ultra sebenarnya dilengkapi kamera yang tidak kurang menggerunkan semasa dilancarkan kerana boleh melakukan zum sehingga 100X. Sensor utama 108MP pada lensa sudut lebarnya masih lagi baik tetapi bukan pencabar kepada sensor 200MP yang terkini. Kemampuan kamera S23 Ultra adalah tiga generasi di hadapan maka peningkatan kualiti gambar yang diambil sudah boleh diagak.

Bagi mereka yang kurang menggemari rekaan bonggol kamera gergasi S20 Ultra, S23 Ultra menyelesaikan isu ini dengan rekaan Floating Camera baharu. Menerusinya isu “berat kepala” pada S20 Ultra diselesaikan dengan jayanya.

BATERI

Kedua-dua peranti dilengkapi bateri 5000 mAh dengan pengecasan berwayar 45W. Tetapi ketahanan bateri S23 Ultra adalah jauh lebih baik kerana penggunaan pemproses 4nm yang lebih menjimatkan kuasa serta skrin LTPO yang kami sebutkan di atas. Skrin boleh menyala lebih 9-10 jam sehari pada penggunaan biasa secara konsisten walaupun dengan 5G diaktifkan. Pada S20 Ultra, hayat skrin terpasang adalah sekitar 7 jam sahaja dalam penggunaan yang sama tanpa 5G. Bagi mereka yang mempunyai isu battery anxiety. S23 Ultra adalah pilihan lebih tepat.

PERISIAN – ONE UI

Dari segi perisian akhirnya buka bertemu ruas. Kedua-dua S20 Ultra dan S23 Ultra masing-masing menggunakan One UI 5.1 yang berasaskan Android 13. Komitmen Samsung untuk memberikan sokongan kemas kini yang baik pada peranti mereka dapat dilihat di sini. S23 Ultra akan menerima empat lagi versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun. Tidak perlu risau mengenai isu kerentanan yang bakal muncul untuk setengah dekad lagi kerana setakat ini Samsung konsisten dalam pemberian kemas kini perisian mereka.

KESIMPULAN

Dalam lima daripada enam kategori di atas, S23 Ultra mempunyai kelebihan yang ketara serta besar jika dibandingkan dengan S20 Ultra. Kedua-dua peranti seri pada kategori terakhir kerana masing-masing menggunakan sistem operasi yang sama. Tetapi jelas sekali jika anda mahukan yang terbaik yang ditawarkan oleh Samsung hari ini, S23 Ultra ialah satu-satunya pilihan yang menjadikannya berbaloi untuk dinaik taraf daripada peranti lama yang anda gunakan sekarang.

Program Tukar Beli Galaxy S23 Ultra + Percuma Galaxy S23

Khas sehingga hujung April 2023 ini, anda akan menerima Galaxy S23 percuma apabila menukarbeli peranti anda untuk membeli Galaxy S23 Ultra. Promosi ini semestinya memberi pulangan yang lebih untuk anda yang berminat untuk menaik taraf peranti ini.

Antara peranti iPhone yang disokong termasuklah siri iPhone 11 dengan bayaran tambahan sebagai RM699 diperlukan. Seterusnya pemilik siri iPhone 12 pula perlu membuat tambahan bayaran RM399, diikuti dengan pemilik iPhone 13 sebanyak RM199. Bagaimanapun bagi pemilik siri iPhone 14 pula, tiada sebarang bayaran tambahan diperlukan di bawah skim tukar ganti Samsung ini.

Penafian: Advertorial dari Samsung Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd