Cari @ Amanz

Insta360 yang merupakan pengeluar pelbagai kamera aksi kini hadir dengan gimbal tersendiri. Melaluinya Insta360 Flow telah diperkenalkan dan kalau diikutkan ia merupakan gimbal pertama daripada mereka. Gimbal ini didatangkan dalam saiz yang kompak dan dikhususkan untuk telefon pintar.

Menariknya lagi apabila Insta360 Flow ini dikuasakan dengan perisian AI terbina yang berfungsi sebagai fungsi penjejakan automatik. Ini digabungkan lagi dengan sokongan Deep Track 3.0 dan penstabilan tiga paksi bagi memastikan rakaman boleh dibuat dengan mudah dan lancar.

Secara teorinya, gabungan perisian AI dan teknologi Deep Track 3.0 terbina membolehkan telefon pintar terpasang mengikuti target subjek dalam masa nyata dengan ketepatan yang baik. Ini termasuklah penjejakan zum, gerakan perlahan dan sebagainya. Ia juga dikatakan boleh berfungsi dengan kawalan gerak isyarat bebas tangan. Kemudian sokongan penstabilan tiga paksi pula memastikan rakaman kekal stabil dalam pelbagai senario.

Pengguna juga disajikan dengan pelbagai mod penggambaran yang menarik melaluinya seperti auto mode, hoop mode (untuk permain bole keranjang), panorama, time shift, motion time-lapse dan dolly zoom mode. Kesemua mod ini boleh diakses cukup mudah dengan hanya meleret butang SmartWheel terbina, yang mana juga berguna untuk pelbagai fungsi lain seperti kawalan serta memainkan semula rakaman.

Melengkapi gimbal ini ialah Genie Shot yang boleh mengesyorkan tangkapan sepatutnya berdasarkan keadaan dengan menawarkan sehingga 80 pilihan template menarik. Bateri sebesar 2900mAh turut disertakan dengan kemampuan berfungsi sehingga 12 jam.

Insta360 Flow dijual pada harga $159.99 (~RM707) dan setiap pembelian dilengkapi dengan sambungan telefon magnetik, kabel, penutup serta beg pelindung. Terdapat juga aksesori tambahan seperti lampu spotlight dan barang perhiasan sampingan disediakan tetapi perlu dibeli secara berasingan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd