Ciri mesej menghilang di aplikasi WhatsApp telah menjadikan perbualan dalam ruangan sembang tidak kekal pada peranti. Malahan akan dipadam secara automatik untuk tempoh masa tertentu. Ia sangat berguna bagi mereka yang begitu mementingkan keselamatan privasi, sama ada jenis data yang tidak mahu diketahui atau sebaliknya. Namun bukan untuk menipu orang lain.
Setakat ini, WhatsApp hanya menyokong tiga tempoh masa untuknya yang terdiri dengan 24 jam, 7hari dan 90hari. Ia bagaimanapun akan dikemaskini dengan lebih banyak tempoh masa pada masa mendatang. Memetik tangkap layar yang dikongsi, ciri ini kelak menyokong sehingga lima belas pilihan tempoh masa baharu.
Ianya merangkumi satu tahun, 180 hari, 60 hari, 30 hari, 21 hari, 14 hari, 6 hari, 5 hari, 4 hari, 3 hari, 2 hari, 12 jam, 6 jam, 3 jam dan 1 jam. Penambahan lebih banyak tempoh masa ini kelak memberi pengguna lebih kawalan untuk setiap mesej yang dihantar dan diterima. Khususnya ciri menghilang mesej dalam tempoh satu jam yang membolehkan mesej sensitif terpadam secara automatik dalam masa singkat.
Buat masa ini, ia masih lagi dalam pembangunan dan akan menerima beberapa penambah-baikan sebelum dilancarkan bagi versi penuh. Turut difahamkan, kemaskini kelak turut akan tersedia untuk pengguna WhatsApp di Desktop.