Vivo V27 5G akhirnya ditawarkan secara rasminya di Malaysia hari ini. Ia merupakan kesinambungan kepada siri Vivo V25 sebelum ini lengkap dengan konsep tubuh boleh berubah warna yang masih dikekalkan. Bertambah menarik apabila peranti disertakan dengan perkakasan dalaman dan perisian terkini.
Bagi yang berminat, Vivo V27 5G boleh dibeli dengan harga bermula RM1,799 (8GB/256GB) dan RM1,999 (12GB/256GB). Ia boleh didapati menerusi kedai atas talian rasmi dan pengedar sah Vivo di seluruh Malaysia.
Mana-mana pembelian yang dibuat pada 1 April hingga 1 Mei 2023, anda layak untuk menerima hadiah percuma bernilai hingga RM957 yang terdiri dengan jaminan serta pelindungan skrin selama setahun dan kotak hadiah misteri. Sebagai tambahan, vivo juga menawarkan diskaun bernilai RM50 untuk pembelian Vivo V27 5G (12GB/256GB) dengan syarat mempamerkan kad pengenalan/kerja sewaktu membuat pembelian.
Vivo V27 merupakan peranti kelas pertengahan 5G baharu dengan cip MediaTek Dimensity 7200. Ini dipadankan pula dengan skrin AMOLED 6.78-inci FHD+ yang juga menyokong kadar segar semula 120Hz. Konfigurasi kamera utama pula 50MP Sony IMX766V dengan OIS + 8MP (ultra lebar) + 2MP (makro), sementara itu kamera swafoto pula 32MP.
Peranti juga menyokong ciri Aura Light menerusi lampu terbina pada modul kamera belakang yang berfungsi seakan Ring Light. Melaluinya ia memberi cahaya tambahan dan sesuai digunakan dalam rakaman gambar atau video pencahayaan rendah. Ia juga memuatkan beberapa mod fotografi dan videografi lain seperti Super Night Video, Super Night Mode, Vlog Movie dan bermacam-macam lagi.
Kapasiti bateri pula sebesar 4600mAh dengan pengecasan pantas berwayar 66W. Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan bluetooth 5.2, port USB-C dan pengimbas cap jari di skrin. Terdapat tiga pilihan warna disediakan seperti Emerald Green, Flowing Gold dan Noble Black.