Cari @ Amanz

Tahun ini akhirnya PlayStation 5 dapat dibeli dengan mudah selepas dua tahun pengguna perlu bertarung dengan golongan pencari untung melampau di atas talian. Saya membeli satu unit PS5 dan untuk membalas geram bertahun menanti untuk membelinya, saya habiskan beberapa minggu pertama bermain siang dan malam sehingga isteri terganggu daripada tidur.

Bagi menjaga keamanan, saya mencuba ASUS ROG Delta S Wireless untuk melihat sama ada ia fon kepala pilihan untuk sesi gaming tanpa henti. Selepas dua bulan menggunakannya, saya boleh katakan ini adalah antara fon kepala terbaik untuk gamer khususnya yang memiliki konsol moden seperti PlayStation 5.

SPESIFIKASI

ASUS ROG Delta S Wireless
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu50mm Neodymium
Mikrofon? Beamforming
Bateri1800 mAh
25 Jam
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODEC?
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Butang kawalanFizikal
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 899

REKAAN

Rekaan nampak kemas dan profesional walaupun ia sepasang fon kepala gaming. Keseluruhan fon kepala berwarna hitam dengan hanya waran putih digunakan pada logo Republic of Gamers (ROG) di bahagian tepi cawan telinga serta bahagian logam yang menyambungkan cawan kepada angkup kepala.

Cawan telinga diperbuat daripada plastik tetapi terasa agak tebal kerana tidak kedengaran seperti murahan apabila diketuk. Sepanjang lebih dua bulan menggunakan fon kepala ini ia beberapa kali terjatuh tetapi tidak ada yang terhakis atau tercalar. Cukup tahan lasak untuk gamer yang merasakan diri mereka agak kasar.

Terdapat kusyen yang empuk mengelilingi bahagian angkup kepala yang cukup besar. Span yang tebal membuatkan pemakaian fon kepala seberat 318 gram ini cukup selesa walaupun untuk sesi gaming yang lama. Pelapik disalut oleh bahan kulit protein yang merupakan nama lain untuk kulit yang tidak berasaskan haiwan. Bahan yang sama turut digunakan pada pelapik telinga berbentuk D yang cukup besar.

Dengan pemandu audio sebesar 50mm, fon kepala ini agak besar dengan keseluruhan cawan telinga menutup cuping telinga saya ketika dipakai. Tiada isu cuping telinga tak muat atau terkepit. Ini meningkatkan lagi keselesaan pemakaian bersama dengan span pelapik yang tebal tadi.

ROG memberikan dua pasang pelapik telinga. Saya lebih gemarkan pelapik telinga kulit protein kerana lebih sejuk berbanding pelapik sekunder yang diperbuat daripada kanvas. Versi kanvas membolehkan telinga “bernafas” kerana mempunyai pengudaraan yang lebih bagus tetapi permukaannya terasa kasar. Proses memasang dan menanggalkan dua pelapik ini tidak melecehkan dengan ia boleh dilakukan dalam masa kurang lima minit.

Cawan telinga hanya boleh diputarkan sehingga sudut 90 darjah. Tiada mekanisme lipatan tambahan menjadikan saiznya lebih kompak untuk memudahkan simpanan dalam beg galas. Beg simpanan tidak pula diberikan dengan pembelian. Tetapi dengan cawan boleh diputar sekurang-kurangnya ia masih selamat untuk dimasukkan ke dalam beg galas.

Bahagian angkup telinga mempunyai dua rel logam untuk mengubah saiznya pada kepala. Rel ini cukup teguh dan tidak mudah berubah saiznya. Terdapat beberapa senggatan pada sisi rel lengkap dengan senggatan. Mudah untuk ingat pada tahap mana angkup ini digunakan keran senggatan ini diukir terus pada rel logam tadi. Saya boleh katakan ROG Delta S Wireless serasi digunakan oleh gamer berkepal kecil dan besar kerana rel angkup telinganya cukup panjang.

Pada cawan telinga kiri terdapat lampu LED, butang kawalan muzik, suis laras audio merangkap butang bisu, suis kuasa merangkap mod tambatan nirwayar dan port pengecasan USB-C. Tempat simpanan dongel penerima 2.4GHz USB-C pula diletakkan pada cawan kanan dengan ia bermagnet. Magnet cukup kuat kerana tidak sekalipun dongel ini terjatuh secara tidak sengaja.

ROG Delta S Wireless hanya berfungsi secara nirwayar dengan tiada sokongan sambungan berwayar menggunakan kabel 3.5mm atau USB-C disertakan. Yang disertakan ialah sebuah kabel pengecas USB-A ke USB-C dan penyesuai USB-C ke USB-A yang berguna bagi mereka yang tidak mempunyai PC dengan USB-C.

Keseluruhan rekaan dan kemasan pada ROG Delta S Wireless adalah sangat kemas. Tiada sistem lampu LED yang hanya menghabiskan bateri dan rekaannya tidak terlalu gaming sehingga ia kelihatan aneh untuk digunakan sebagai fon kepala mendengar muzik ketika di luar.

PENGGUNAAN DAN KESELESAAN

ROG Delta S Wireless adalah fon kepala gaming paling selesa pernah saya ulas setakat ini. Tiada terasa berat di atas kepala walaupun hakikatnya 318 gram adalah jauh lebih berat berbanding majoriti fon kepala lain di pasaran seperti Sony WH1000XM5 yang diulas sebelum ini. Sesi Resident Evil 4 berterusan sehingga 5 jam tidak menyebabkan telinga saya berpeluh atau leher terasa seperti terbeban.

Jika ada kekurangan hanyalah tiada sistem pembatalan hingar (ANC) untuk mengelakkan bunyi dari luar menerjah sesi gaming. Sungguhpun begitu dengan pemandu audio 50mm yang besar, audio yang dilontar cukup lantas sehingga bunyi dari luar tidak mudah mengganggu.

Kesemua butang pada cawan kiri mudah diakses dan dibezakan kerana jarak antara butang yang cukup besar. Selepas beberapa jam saya sudah arif dengan kedudukan setiap butang. Butang laras audio jenis roda adalah sangat ergonomik kerana perlu ditolak ke atas untuk menaikkan kelantangan bunyi dan ke bawah untuk sebaliknya. Tekan butang yang sama untuk membisukan mikrofon. Apabila ini dilakukan, lampu LED akan menyalakan warna merah sebagai peringatan pemakai sudah dibisukan audionya dari didengar pemain lain ketika sesi gaming atas talian.

Dongel sambungan radio 2.4GHz boleh dikeluarkan dengan mudah tanpa perlu dicungkil dengan agresif. Kami gunakan dongel ini pada konsol PlayStation 5 di rumah dan juga pada MacBook Air di pejabat. Sejurus selepas ia disambungkan kepada port USB-C dua peranti ini, ROG Delta S Wireless akan mengesan ia ditambat menggunakan mod radio dengan pengesahan audio “connected” akan didengari.

Saya cukup suka jika sistem tambatan fon kepala bercakap dengan pengguna dan bukannya sistem audio “doot doot doot” yang mengelirukan. Adakah “doot doot doot” bermakna fon kepala berjaya ditambat atau gagal?

Dalam mod bluetooth pula, tukar tuil suis ke mod bluetooth. Kemudian tekan butang kawalan fizikal selama beberapa saat untuk memasuki mod tambatan (pairing). Lampu biru pada fon kepala akan menyala dan sepatutnya ROG Delta S Wireless akan dapat dilihat pada telefon pintar yang digunakan.

Kami berjaya menambat secara bluetooth pada peranti Android, iOS, HarmonyOS, Windows, Mac, Tizen dan Android TV tanpa sebarang isu. Isu yang ada ialah kami tidak tahu apakah codec yang digunakan kerana tidak disenaraikan oleh ASUS di laman web atau dipaparkan pada antaramuka telefon pintar. Besar kemungkinan sekadar SBC sahaja yang mengecewakan. Seperkara lagi yang perlu diterangkan ialah mod 2.4GHz juga boleh digunakan pada peranti Android yang mempunyai port USB-C.

KUALITI AUDIO

Kerana kami merasakan audio sekadar SBC sahaja, kualiti audio ROG Delta S Wireless untuk mendengar muzik. Fon kepala gaming mementingkan bass dan sedikit treble sahaja. Maka muzik yang paling serasi didengari hanyalah rock, dan EDM sahaja. Muzik lain terasa sedikit tenggelam. Bukan salah ASUS di sini kerana ROG Delta S Wireless memang tidak diiklankan untuk mendengar muzik.

Ini terbukti kerana walaupun menyokong audio 7.1 secara maya, ciri ini langsung tidak boleh digunakan apabila mendengar muzik pada peranti Android dan iOS. Ciri audio menyeluruh spatial ini hanya boleh dinikmati pada PC dan konsol sahaja.

Untuk gaming barulah ketrampilan ROG Delta S Wireless dapat didengari. Dentuman bom yang dilontar dalam COD Warzone boleh menggegarkan otak. Setiap tembakan dapat didengari dari mana arahnya memudahkan pencarian pemain yang suka melakukan aksi camping di dalam peta.

Di atas tadi saya ada menyentuh mengenai treble dan ini juga berguna dalam Resident Evil 4 yang sedang dimainkan sekarang. Terdapat permainan mini memburu patung mini yang disorokkan di sekeliling peta. Sukar mengesan lokasi patung ini tanpa fon kepala yang baik. Mujur ROG Delta S Wireless menyokong audio surround pada PlayStation 5. Sistem PlayStation 5 dapat mengenali ROG Delta S Wireless yang dipasang dengan audio 3D kemudian boleh ditala mengikut keselesaan pemakai.

ROG Delta S Wireless disokong secara rasmi oleh PS5 bersama dengan Discord. Tidak sempat pula kami mengujinya pada Xbox Series X/S kerana tidak memilikinya. Pada PC sistem audio boleh diubah dan ditala secara lebih meluas menerusi perisian Armoury Crate. Terdapat banyak pilihan seperti kekuatan bass, kejituan audio Virtual Surround dan kawalan mikrofon yang akan diterangkan lebih menyeluruh di bawah.

MIKROFON

Tiada mikrofon jenis tangkai yang biasanya digunakan pada fon kepala gaming. Sistem mikrofon beam forming yang digunakan menurut ASUS adalah mencukupi. Saya gunakan fon kepala ini dalam beberapa sesi atas talian dan ahli pasukan mengatakan suara kedengaran jelas. Terdapat sistem AI yang menghilangkan bunyi latar yang bising. Dalam ujian yang dilakukan ia berfungsi dengan baik cuma suara jadi seakan robot jika semakin kuat audio latar yang ingin ditapis. Secara keseluruhannya mikrofon ROG Delta S Wireless adalah amat baik.

BATERI

Bateri sebesar 1800 mAh menjanjikan penggunaan sehingga 25 jam dengan sekali caj. Saya tidak pula mempunyai jam randi sepanjang tempoh ulasan untuk mengira. Yang kami tahu sepanjang bateri boleh bertahan sepanjang hujung minggu dengan sekali caj. Selepas habis hari Ahad saya caj semula tanpa melihat tahap bateri. Tempoh mengecas semula adalah sekitar dua jam. Terdapat mod cak pantas yang memberikan 3 jam penggunaan selepas mengecas hanya 15 minit. Hayat bateri ROG Delta S Wireless adalah amat baik untuk tujuan gaming kental.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian di Malaysia.

  • 1x ASUS ROG Delta S Wireless.
  • 1x Dongel 2.4GHz.
  • 2x Span telinga jenis fabrik.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Penyesuai USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x. Buku jaminan.

KESIMPULAN

ASUS ROG Delta S Wireless ialah set kepala paling selesa, mantap dan memuaskan pernah saya gunakan setakat ini. Walaupun dipakai untuk tempoh yang lama tidak terasa seperti kepala tersepit atau mudah berpeluh. Span yang digunakan juga boleh ditukar kepada versi fabrik yang memberikan pengudaraan yang baik.

Kualiti audio juga amat baik lebih-lebih lagi dalam permainan yang menyokong audio surround. Lokasi musuh yang datang dari pelbagai arah dapat didengari dengan jelas. Jika ada kekurangan hanyalah ia tidak begitu sedap digunakan untuk mendengar muzik. Di Malaysia ASUS ROG Delta S Wireless dijual pada harga RM899 sebuah yang menjadikannya agak mahal berbanding fon kepala gaming yang lain. Tetapi seperti yang telah kami katakan ROG Delta S Wireless ialah fon kepala gaming terbaik pernah saya gunakan maka kenalah membayar lebih sikit untuk produk yang mercu.

Pro

  • Selesa dipakai walaupun dalam sesi gaming yang lama.
  • Kualiti audio yang bagus untuk gaming.
  • Hayat bateri yang juga bagus.
  • Sokongan mod 2.4GHz untuk pada konsol, komputer dan peranti pintar
  • Sokongan audio surround juga mantap.
  • Butang kawalan fizikal mudah diakses dan ergonomik.

Kontra

  • Tiada bekas simpanan.
  • Tiada sokongan sambungan secara berwayar langsung.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd