Ada ataupun tidak? Ini ialah persoalan yang mengenai sama ada Apple akan memperlihatkan set kepala AR Reality Pro di acara WWDC yang berlangsung pada 6 Jun depan. Misteri hanya akan dirungkai pada hari tersebut tetapi menurut Ming-Chi Kuo ini mungkin tidak akan berlaku.

Dalam mesej terkini beliau yang dikongsi semalam, Kuo berkata Reality Pro tidak akan muncul di WWDC sebaliknya ditangguhkan ke bulan September ketika acara pelancaran siri iPhone 15 kelak. Menurut Kuo penangguhan dilakukan kerana kurangnya keyakinan set kepal AR ini akan menerima reaksi yang sama seperti iPhone ketika pertama kali diperlihatkan.
Tambah beliau lagi sasaran jualan juga dikurangkan ke sekitar 200-300 ribu berbanding sasaran asal 500,000 unit. Ini adalah kerana harga jualan dijangka sekitar $3000 sebuah menjadikannya terlalu mahal. Ramalan Kuo selari dengan laporan New York Post yang mengatakan terdapat kakitangan Apple yang juga kurang yakin dengan kemampuan Reality Pro.