Cari @ Amanz

Forerunner 265 dan 965 merupakan dua produk terkini daripada Garmin yang memfokuskan terhadap para pelari pemula mahupun aktif. Kedua-duanya dilihat menerima kemaskini lebih baik dengan tubuh yang direka semula. Di samping turut memuatkan skrin AMOLED sekaligus menjadi yang terawal menyokongnya dalam siri tersebut.

Berita baik buat mereka yang menunggu kehadirannya di Malaysia, Forerunner 265 boleh dibeli sekarang dengan harga RM2,220. Sementara itu, Forerunner 965 akan dipasarkan bermula April akan datang dengan RM2,970 seutas. Ketersediaan adalah menerusi kedai atas talian rasmi dan pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia.

Bermula dengan Forerunner 265, ia boleh didapati dalam dua saiz berbeza iaitu 42mm yang mempunyai ketahanan bateri sehingga 24 jam dalam mod GPS dan sehingga 15 hari dalam mod jam tangan pintar. Seterusnya. variasi 46mm pula boleh digunakan sehingga 20 jam dalam mod GPS dan meningkat sehingga 13 jam dalam mod jam tangan pintar.

Ini dipadankan pula dengan pelbagai fungsi kesihatan dan kecergasan terbina yang membantu mereka merancang aktiviti dengan lebih baik. Misalnya seperti cadangan dan status senaman harian, aplikasi sukan terbina dengan lebih 30 pilihan aktiviti, jurulatih Garmin, pemantauan waktu tidur, pengesanan tekanan, menjejak kadar degupan jantung masa nyata, VO2 Max, kitaran haid dan sebagainya.

Selain itu, ia juga menyokong pemberitahuan pintar, di samping turut membolehkan pengguna memuat-turun lagu daripada pelbagai aplikasi seperti Spotify, Deezer atau Amazon Music (langganan premium diperlukan) untuk mendengar tanpa telefon. Kebolehan pembayaran nirtunai menerusi Garmin Pay turut disediakan pada jam tangan sebesar 1.3-inci dan resolusi 416 x 416 piksel ini.

Forerunner 965 pula menggunakan bezel titanium ringan dengan panel hadapan lebih besar 1.4-inci beresolusi 454 X 454 piksel. Panel utama jam tangan ini juga lebih kukuh dengan lapisan Corning Gorilla Glass DX baharu. Ketahanan bateri juga lebih panjang sehingga 31 jam dalam mod GPS, seterusnya meningkat menjadi 23 hari dalam mod jam tangan pintar.

Ia juga mempunyai pelbagai fungsi kecergasan dan kesihatan seumpama Forerunner 265. Namun masih terdapat juga beberapa kelebihan lain pada jam tangan ini yang menyokong pemetaan terbina dan keupayaan untuk menyimpan lebih banyak lagu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd