Mukmin Pro merupakan salah satu aplikasi berkonsepkan gaya hidup Muslim kontemporari komprehensif yang tersedia buat para pengguna peranti mudah-alih. Ia membuat kemunculan rasminya pada April tahun 2022 untuk menyediakan lebih pilihan aplikasi berkonsep berkenaan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Dalam masa sama, ia turut mudah diakses tidak kira di mana berada selain tidak mengenakan sebarang caj pembayaran menjadikannya begitu mesra pengguna.

Bersesuaian dengan fokus untuk terus memberi pengalaman terbaik buat pengguna, kini ciri Halwa telah ditambah pada aplikasi ini. Ia merupakan ciri di mana membolehkan pengguna memainkan audio seumpama Spotify tetapi mengkhususkan untuk kandungan islamik. Terdapat pelbagai kandungan audio berkualiti tinggi termasuk zikir, dakwah, bacaan Al-Quran, Nasyid, podcast dan lain-lain yang ditawarkan. Kandungan-kandungan ini turut diperbaharui secara berkala serta dipilih dengan teliti untuk kekal relevan dan diterima tanpa bermusim.

Selain daripada Halwa, aplikasi ini turut menawarkan ciri-ciri menarik seperti Magic Qiblat yang memudahkan pengguna mencari arah kiblat menggunakan teknologi realiti tambahan. Seterusnya ia juga mempunyai ciri video seakan TikTok yang turut menyediakan kandungan video pendek menarik bertujuan sebagai mendidik. Bagi yang berminat, aplikasi Mukmin Pro boleh dimuat-turun secara percuma menerusi Google Play Store, Huawei AppGallery dan Apple App Store.