Carian
Google Memperkenalkan Nearby Share Untuk Windows – Ujian Beta Sedia Untuk Dimuat Turun
April 3, 2023 Fahim Zahar

Nearby Share adalah kaedah perkongsian fail yang sangat pantas dan efisien saya pernah gunakan selepas AirDrop. Walaupun Google lambat memperkenalkan ciri ini selepas beberapa tahun menggunakannya tidak dinafikan Nearby Share jauh lebih hebat berbanding ciri perkongsian fail oleh Apple.

Ciri ini menyokong pemindahan ke banyak peranti serentak, boleh kongsi fail besar dengan mudah, boleh kawal siapa yang layak menerima fail dan banyak lagi. Tahun lepas Google merancang untuk kembangkan penggunaan Nearby Share ke Windows dan tidak terhad kepada Chrome OS sahaja. Baru-baru ini aplikasi beta Nearby Share untuk Windows diumumkan sedia untuk diuji dan dimuat turun oleh semua.

Nearby Share untuk Windows ini percuma untuk digunakan oleh semua pengguna peranti Android dengan syarat akaun Google harus digunakan. Jika anda ingin kongsi ke peranti sendiri pastikan akaun Google sama digunakan. Ciri in turut boleh menghantar fail kepada orang lain asalkan mereka mempunyai Nearby Share terpasang dan emel mereka berada dalam senarai kenalan anda. Senarai kenalan juga di bawah kawalan pengguna sendiri.

Menariknya ciri ini membenarkan pengguna menghantar fail dari PC ke telefon atau di sebaliknya tanpa sebarang masalah. Dalam ujian ringkas yang saya lakukan fail bersaiz sekitar 4GB boleh dihantar pada kadar 7.7MB/s yang mana agak pantas berbanding Apple Air Drop yang kadangkala fail 2Gb pun bermasalah.

Jika anda berminat untuk cuba menggunakan ciri pemindahan fail nirwayar ini untuk memudahkan lagi tugasan anda atau jika ingin lihat gambar Hari Raya yang diambil pada telefon terus ke skrin komputer yang lebih besar tekan sahaja pautan di bawah untuk muat turun.

Komen