Steam Deck adalah konsol mudah alih yang berkuasa yang lebih hebat berbanding Nintendo Switch kerana boleh main permainan grafik tinggi PC secara mudah alih. Tetapi penjualan peranti ini terhad di negara terpilih dan sukar untuk orang ramai membelinya.
Baru-baru ini Asus mengumumkan ROG Ally sebagai pesaing kepada Steam Deck. Walaupun pengumuman ini dilakukan pada 1 April, besar kemungkinan ia bukanlah sebuah produk palsu kerana mereka menyertakan pautan ke Best Buy untuk pendaftaran menerima notifikasi pra-tempahan.

ROG Ally menggunakan skrin FHD, dijana cip AMD “terpantas” yang diubahsuai oleh Asus sendiri dan menjalankan Windows 11. Kpnsol mudah alih ini menggunakan rekaan dwi-kipas dan mempunyai alat kawalan terbina yang menyertakan butang analog, D-pad, ABXY, butang bahu dan beberapa butang tambahan lain.

Menurut Asus (jika benar) ROG Ally turut menyokong sambungan kepada ROG XG Mobile eGPU ketika konsol sedang dicas sambil disambungkan ke televisyen untuk pengalaman prestasi lebih tinggi dan sesi bermain yang memuaskan.
Buat masa ini masih tidak pasti bila Asus akan mengumumkan spesifkasi penuh dan butiran lanjut mengenai ROG Ally. Dengan peranti Asus ROG Phone popular di Malaysia, ROG Ally ini mungkin boleh menjadi alternatif Steam Deck terbaik jika harga jualannya sesuai. Sama-sama kita nantikan.