Apabila bercakap mengenai fon telinga, kami di Amanz telah mengulas pelbagai pilihan dari yang murah ke mampu milik dan yang mempunyai tanda harga mampu lihat. Baru-baru ini, TC Acoustic telah membawa masuk jenama audio premium Bowers & Wilkins yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembesar suara dan bar audio, tetapi juga menawarkan pilihan fon telinga dan fon kepala premium.
Kami diberi peluang untuk mengulas fon telinga paling premium keluaran mereka, iaitu B&W Pi7 S2, fon telinga TWS generasi kedua mereka yang dikatakan hadir dengan kualiti audio yang tiada tandingan pada tanda harga yang hampir tidak masuk akal juga.
Spesifikasi Dan Rekaan
Bowers & Wilkins Pi7 S2 | |
---|---|
Jenis | Fon putik dalam telinga |
Pemandu | 9.2mm |
Mikrofon | 3 mikrofon |
Bateri | ANC 5 jam/ 21 jam dengan pod Tiada ANC 6 jam / 21 jam dengan pod |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Ya |
CODEC | AAC, LDAC |
Sistem operasi disokong | Semua |
Sokongan pembantu maya | Ya |
Pad Kawalan | Ya |
Kemampuan kalis air | IP54 |
Harga Jualan | RM2450 |
Bermula dengan rekaan fon telinga Pi7 S2 ini, ia hadir dengan rekaan padat tetapi tebal yang merumahkan bukan sahaja pemandu audio balanced armature dengan dua pemandu audio 9.2mm di setiap putik telinga, tetapi juga mempunyai amplifier terbina yang membantu dalam memastikan kualiti audio fon telinga ini adalah pada tahap yang sebaik mungkin.
Oleh kerana komponen-komponen yang dimuatkan di dalamnya, rekaan putik telinga B&W Pi7 S2 ini juga dilihat lebih tebal dari kebanyakan fon telinga yang pernah kami ulas. Ini bukanlah sesuatu yang buruk kerana rekaan fon telinga ini masih kemas, dan walaupun ia dilihat terkeluar sedikit dari telinga apabila dipasang, ia memudahkan pengguna untuk mengakses pad sesentuh pada permukaan belakang fon telinga ini.
Beralih ke rangka pengecasan fon telinga ini, rekaannya sedikit mirip fon telinga Sony WF-1000XM3, dan bagi saya ini adalah salah satu daripada kekurangan terbesar fon telinga ini kerana saya tidak begitu gemar akan rekaan sebegini.
Ini adalah kerana rangka pengecasan ini tidak boleh berdiri secara menegak betul-betul dan perlu didirikan pada bahagian penutupnya. Saiz rangka ini juga bagi saya adalah terlalu besar dan menyebabkan poket seluar saya terbonjol apabila menyimpan fon kepala ini di dalamnya.
Walaupun begitu, rangka fon telinga ini juga hadir dengan kelebihan-kelebihannya sendiri, termasuklah memberikan fon telinga ini pengecasan bateri sehingga 16 jam dan juga boleh menyambungkan peranti tanpa fungsi Bluetooth ke fon telinga ini. Fungsi ini akan kami terangkan di perenggan di bawah.
Kualiti Audio
Orang ramai mengenali Bowers & Wilkins sebagai sebuah jenama audio kelas premium, tetapi mereka mempunyai sejarah permulaan sebagai sebuah kedai membaiki dan modifikasi pembesar suara, sebelum mereka akhirnya membangunkan produk mereka sendiri.
Dengan permintaan untuk fon kepala dan fon telinga semakin meningkat, Bowers & Wilkins turut memperkenalkan kepakaran pembesar suara mereka kepada produk-produk ini, dan dengan B&W Pi7 S2, saya berani katakan bahawa ia merupakan salah satu daripada fon telinga dengan kualiti audio terbaik pernah saya dengar.
Bass
Untuk kebanyakan fon telinga, tahap bass dan juga nota rendah yang diperdengarkan adalah sama ada tidak cukup kuat ataupun terlalu kuat sehingga ia menenggelamkan semua nota-nota audio yang lain.
Tetapi untuk fon telinga ini, kualiti nota rendah dan juga bass pada lagu-lagu yang didengarkan pada pendapat saya berada pada tahap yang cukup sesuai sekali. Untuk beberapa lagu yang saya gemar dengari, khususnya dari genre pop dan rock, saya dapati bahawa nota-nota ini berada pada tahap yang mana ia boleh didengari dengan lancar, tetapi tidak menenggelamkan nota-nota lain.
Vokal/Mid
Nota audio pertengahan dan vokal merupakan satu bahagian dimana pendapat saya sangat berbelah bahagi mengenai fon telinga ini. Apabila menikmati lagu-lagu instrumental di dalam genre jazz, post-rock dan sebagainya oleh artis-artis seperti Mono, Hiromi, Marmalade Butcher dan sebagainya, saya boleh katakan bahawa harmoni di antara nota-nota yang didengari melalui Pi7 S2 ini adalah di antara yang terbaik boleh saya dengar melalui sepasang fon telinga TWS.
Walau bagaimanapun, harmoni ini terjejas apabila saya mendengari lagu-lagu pop dengan olahan vokal di dalamnya. Nota-nota rendah, bass, mid dan nota tinggi tidak menjadi masalah, tetapi kelantangan vokal tidak begitu menyerlah pada pendapat saya, dan sering tenggelam dalam nota mid ataupun yang lebih tinggi.
Ia bukanlah sesuatu yang teruk, tetapi untuk sebuah fon telinga pada kualiti sebegini, ia adalah sedikit mengecewakan.
High
Sama seperti nota bass dan rendah yang saya katakan tadi, sama juga seperti nota tinggi yang didengari pada fon telinga ini, ia tidak pernah sekali menyakitkan telinga, walaupun apabila saya memainkan lagu pada kelantangan yang tinggi.
Kualiti audio yang diperdengarkan pada fon telinga ini adalah contoh bagaimana para jurutera audio Bowers & Wilkins memindahkan kepakaran membangunkan pembesar suara mereka ke peranti TWS generasi kedua ini.
Ya mungkin kualiti vokal pada fon telinga ini tidak sebaik kualiti nota-nota yang lain, tetapi ini adalah salah satu daripada kekurangan yang mudah diperbaiki, tetapi tidak. Saya akan jelaskan mengenai butiran ini dalam perenggan di bawah.
Mikrofon
Setiap putik fon telinga ini hadir dengan tiga mikrofon terbina yang bukan sahaja membantu dalam memberikan pengguna pengalaman berbual yang lancar, tetapi juga membantu dalam memastikan fungsi pembatalan bunyi hingar berfungsi dalam keadaan baik.
Sepanjang saya menggunakan fon telinga ini, saya boleh katakan bahawa fungsi pembatalan bunyi hingar ini adalah sebaik fon telinga Sony WF-1000 XM4, dan mempunyai fungsi dimana fon telinga ini akan menjedakan audio apabila salah satu daripada fon telinga ditanggalkan.
Cuma sayangnya, B&W Pi7 S2 ini tidak mempunyai fungsi talk-to-pause yang diperlihatkan pada fon telinga Sony, menjadikannya sebuah fon telinga yang sangat berbaloi untuk dibeli. Ia sekurang-kurangnya juga mempunyai ciri transparent audio yang dinamakan sebagai audio pass-through di dalam aplikasi ini yang mana anda boleh mendengar bunyi persekitaran sambil mendengar lagu.
Ciri ini cukup berguna misalnya apabila anda perlu mendengar pengumuman yang dibuat, tetapi tidak mahu menanggalkan fon telinga anda. Bercakap mengenai itu juga, fon telinga ini juga hadir dengan fungsi yang akan menjedakan audio yang dimainkan apabila anda menanggalkan salah satu daripada fon telinga anda, dan akan memulakannya semula apabila ia dipakai balik.
Bateri
Dari segi jangka hayat bateri pula, fon telinga B&W Pi7 S2 ini mempunyai cas selama 5 jam untuk setiap putik, manakala rangka pengecasannya pula boleh membekalkan pengecasan selama 16 jam lagi, memberikan fon telinga ini jangka hayat keseluruhan selama 21 jam.
Walaupun jangka hayat keseluruhan fon telinga ini tidak begitu rendah, tetapi dengan hanya 5 jam untuk setiap putik, ini jauh lebih rendah berbanding dengan sejumlah besar penawaran di luar sana yang bukan sahaja premium, tetapi mempunyai tanda harga yang lebih rendah.
Satu ciri yang mungkin dilihat menarik ialah rangka pengecasan ini juga boleh dicas secara nirwayar menggunakan teknologi pengecasan Qi, yang berguna jika anda memiliki sebuah pengecasan nirwayar Qi.
Aplikasi Dan Kawalan
Seperti jenama-jenama TWS yang lain, Bowers & Wilkins juga mempunyai aplikasi untuk produk-produk mereka. Untuk jenama ini, aplikasi tersebut ialah Music, dan ia boleh digunakan untuk mengemaskini produk-produk mereka, dan mengubah sejumlah kecil tetapan terbina.
Untuk fon telinga Pi7 S2, aplikasi ini boleh digunakan untuk mengemaskini perisian tegar dan juga mengakses fungsi seperti sokongan natif untuk sejumlah aplikas penstiman muzik yang hadir dengan sokongan untuk penstriman audio nirhilang seperti Tidal, Deezer dan juga SoundCloud.
Fon telinga ini juga tampil dengan sejumlah kawalan pintasan seperti melangkau lagu ke hadapan dan ke belakang, menjawab panggilan, mengaktifkan kawalan pembatalan bunyi hingar dan juga mengakses pembantu digital.
Sayangnya anda akan perlu menghafal pintasan-pintasan ini kerana walaupun aplikasi Music tersebut memberi anda senarai pintasan yang hadir pada fon kepala ini, ia tidak memberi pengguna kebolehan untuk menukar tetapan tersebut ke pintasan yang lebih mudah untuk diingati.
Bagi saya ini merupakan satu kekurangan yang sangat ketara untuk fon telinga yang tampil dengan harga semahal ini, khususnya apabila terdapat TWS lain pada harga jauh lebih murah yang mempamerkan fungsi ini.
Dalam pada itu, aplikasi ini juga tidak mempunyai fungsi equalizer terbina untuk membolehkan pengguna menatal kualiti audio kepada kehendak mereka. Saya faham bahawa jurutera audio telah bertungkus-lumus untuk memastikan bahawa kualiti fon telinga ini adalah yang sebaik yang mungkin, tetapi pilihan audio adalah sesuatu yang subjektif, dan ini mungkin adalah sesuatu yang pihak B&W boleh fikirkan untuk produk-produk di masa hadapan.
Kerangka Pemancar Nirwayar
Satu fungsi yang pada pendapat saya merupakan killer feature pada fon telinga Pi7 S2 ini ialah fungsi pemancar nirwayar melalui rangka pengecasan fon telinga ini. Ciri ini diperkenalkan buat kali pertama melalui model Pi7 yang pertama, tetapi kini telah diperbaiki lagi melalui model baru ini.
Fon telinga ini hadir dengan dua kabel, iaitu USB Type-C ke USB Type-C dan USB Type-C ke 3.5mm audio. Secara ringkasnya, anda boleh menggunakan kedua-dua kabel ini untuk menyambungkan rangka pengecasan fon telinga ini kepada mana-mana peranti dengan USB Type-C ataupun palam audio 3.5mm ke palam audio, dan kerangka fon telinga ini akan memancarkan audio ke putik-putik fon telinga secara begitu sahaja.
Ini khususnya berguna apabila anda ingin menyambungkan fon telinga kepada peranti audio yang tiada sokongan Bluetooth, seperti palam audio dalam penerbangan ataupun pemain cakera.
Dari segi jarak sambungan, Bowers & Wilkins mengatakan sambungan menggunakan palam audio 3.5mm mempunyai radius 15 meter, manakala sambungan dengan kabel USB Type-C ke USB Type-C hadir dengan radius sambungan sekitar 30 meter. Tetapi ia perlu diingatkan bahawa jarak sambungan ini akan menurun sekiranya anda beredar ke kawasan yang mempunyai halangan seperti dinding dan pintu walaupun dalam jarak ini.
Dalam Kotak
Bowers & Wilkins Pi7 S2 ini hadir dengan sejumlah aksesori tambahan dan juga putik telinga dengan saiz yang berbeza untuk lubang telinga yang lebih besar ataupun kecil.
- 1x Bowers & Wilkins Pi7 S2
- 1x Rangka pengecasan
- 1x kabel USB Type-C ke 3.5mm audio
- 1x kabel USB Type-C ke USB Type-C
- 2x putik telinga silikon saiz S dan L
Kesimpulan
Saya berani katakan bahawa Bowers & Wilkins Pi7 S2 ini adalah di antara fon telinga yang terbaik dari segi kualiti audio yang pernah saya gunakan. Nota tinggi dan rendah yang seimbang dan dengan pementasan yang luas untuk sebuah fon telinga TWS membuatkan saya cukup teruja menggunakan fon telinga ini setiap hari dan untuk pelbagai jenis genre muzik kegemaran saya, khususnya untuk genre rock, jazz dan instrumental.
Fungsi audio pass-through yang membolehkan kerangka pengecasan fon telinga ini digunakan sebagai pemancar Bluetooth juga sangat berguna khususnya sekiranya anda mahu mendengar audio daripada sumber yang tidak mempunyai sokongan Bluetooth.
Walaupun begitu, pada tanda harga RM2450, ia sangat sukar untuk saya mengesyorkan fon telinga ini untuk dibeli oleh orang ramai, khususnya kerana kekurangan seperti tetapan pintasan yang tidak boleh diubahsuai, ketiadaan ciri equalizer di dalam aplikasi dan jangka hayat bateri yang jauh lebih lemah berbanding dengan penawaran-penawaran lain yang jauh lebih murah.
Akan tetapi, jika anda seorang yang lebih mementingkan kualiti audio pada fon telinga anda, dan tidak mempunyai masalah untuk membeli TWS dengan harga kayangan, mungkin B&W Pi7 S2 ini boleh anda pertimbangkan.
Pro
- Kualiti audio yang terbaik untuk sebuah TWS
- Fungsi audio pass-through yang sangat berguna
- Ciri pembatalan hingar audio yang baik
- Pengecasan nirwayar melalui Qi
- Boleh memanfaatkan penstriman audio nirhilang seperti Tidal dan Deezer
Kontra
- Jangkahayat bateri yang lemah
- Kawalan pintasan yang tidak boleh diubahsuai
- Tiada fungsi talk-to-pause
- Rekaan kerangka tidak mesra poket