Antara arahan yang diberikan kepada sidang editorial Amanz ialah tidak mengambil berita yang diumumkan pada 1 April sebagai serius kerana tidak ingin menjadi mangsa April’s Fool. Antara yang diumumkan pada hari tersebut ialah ASUS ROG Ally, sebuah konsol mudah alih yang dilihat sebagai pesaing kepada Steam Deck.
Tetapi nampaknya jenaka ini menjadi serius kerana produk ini benar-benar wujud dan sedang dibangunkan oleh pihak ASUS. Beberapa saluran YouTube utama telah mendapat akses awal kepada ROG Ally dan ia nyata berfungsi. Spesifikasi penuh ROG Ally masih dirahsiakan cuma ASUS berkata ia adalah lebih berkuasa berbanding Steam Deck.

Ia menggunakan sistem operasi Windows 11 dengan skrin yang menyokong resolusi FHD 120Hz. Terdapat empat butang bahu dan dua butang kawalan tambahan di belakang. Dua kayu analog di hadapan dilengkapi lampu RGB berwarna-warna. Ini dipadankan pula dengan satu butang D-Pad dan empat butang pemuka yang menggunakan konfigurasi X-Box. Ini tidak mengejutkan kerana ROG Ally direka untuk menyokong PC Game Pass.
Bila ia akan dijual serta harga masih lagi misteri. Besar kemungkinan hanya akan diketahui sekitar pelancaran ROG Phone 7 kelak atau Computex pada bulan Mei.