Secara teknikalnya, Intel dan TSMC adalah pesaing dimana kedua-dua syarikat ini terkenal untuk pengeluaran cip semikonduktor yang berkuasa tinggi. Akan tetapi, TSMC masih dilihat jauh kehadapan berbanding Intel dalam aspek ini, walaupun Intel mempunyai pelan mereka sendiri dengan proses IDM 2.0.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa siri cip pemprosesan generasi kedua dan ketiga Intel, iaitu Intel Arc Battlemage dan Arc Celestial akan dibangunkan oleh proses 4nm dan 3nm oleh TSMC. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kad grafik Intel Arc Battlemage dijangka akan diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 2024 kelak.
Apa yang menarik ialah kad grafik Arc Celestial, yang dijangka akan diperkenalkan sekitar 2026 kelak, dan juga akan dibangunkan oleh TSMC menggunakan proses 3nm N3X dan dijangka akan diperkenalkan ke pasaran global pada tahun 2026 kelak.
Sebelum in ia dijangka bahawa kad grafik Arc Celestial akan dibangunkan oleh Intel menggunakan proses pembangunan cip semikonduktor mereka sendiri, tetapi nampaknya ia tidak akan sedia lagi menjelang tarikh yang ditetapkan.
Intel Arc Battlemage dikatakan akan menggunakan cip pemprosesan grafik Intel Xe2, dan mungkin akan memperlihatkan kad grafik yang boleh memberi saingan kepada kad-kad grafik kelas premium keluaran AMD dan NVIDIA.
Raja Koduri yang baru-baru ini telah meninggalkan Intel dilihat melakukan perkara yang sama apabila beliau mengepalai bahagian grafik di AMD, memberi proses dan peta jalan untuk produk-produk di masa hadapan supaya syarikat-syarikat tersebut mudah membangunkan komponen-komponen ini.