Huawei Watch Ultimate telah dilancarkan sebelum ini yang boleh menjadi pesaing langsung kepada Apple Watch Ultra. Selepas dilancarkan di China, kini ia mula memasuki pasarn global pula bermula dengan Eropah.

Walau bagaimanapun, versi global adalah berbeza dengan peranti yang dijual di China kerana tidak menyokong sambungan satelit generasi kedua Beidou. Dengan ini, ia tidak dapat menghantar dan menerima SMS tanpa sambungan.

Lain-lain spesifikasi adalah sama, di mana ia dibina dengan bahan premium yang tahan lasak dan lebih keras berbanding besi tahan karat. Ini dipadankan pula dengan kaca nilam pada muka jam bersama bezal diperbuat daripada bahan seramik. Watch Ultimate juga mempunyai sokongan pelindungan kalis air 10ATM dan sesuai untuk melakukan aktiviti menyelam.

Sebagai jam tangan pintar, ia juga mempunyai ciri standard membaca nadi, ECG, kepekatan oksigen dalam darah, menjejak tapak, GPS dan mengesan sehingga 100 aktiviti sukan secara automatik. Bateri yang diberikan pula boleh bertahan sehingga 14 hari dan 8 hari dengan mod GPS. Pengecasan pantas membolehkan bateri dicas semula dalam masa sejam.

Kesemua ciri yang dinyatakan ini dimuatkan ke dalam tubuh dengan paparan 1.5″ LTPO AMOLED. Ia kemudiannya dicantum pula dengan saiz kerangka 48.5mm dan berat 76g tanpa tali. Watch Ultimate dijual pada harga €749 (~RM3594) dalam warna Expedition Black dan €899 (~RM4314) pula untuk Voyage Blue.