Penggunaan ChatGPT Menyebabkan Ketirisan Data Di Kilang Samsung
Nazrin
ChatGPT, pembantu digital yang menggunakan kecerdasan buatan yang boleh digunakan untuk memudahkan pelbagai tugas baru-baru ini dilaporkan telah menyebabkan isu ketirisan data di kilang Samsung di Korea Selatan.
Baru-baru ini, ia dilaporkan bahawa terdapat tiga kes dimana khidmat ChatGPT digunakan untuk memperbaiki mutu pengaturcaraan kod di kilang Samsung dan juga butiran mengenai sejumlah proses sulit di kilang tersebut telah dimuat-naik ke ChatGPT.
Kes pertama diperlihatkan dimana kod pengaturcaraan yang ditulis telah dimasukkan kedalam ChatGPT untuk mencari isu dan memperbaiki kesalahan. Kes kedua pula dilihat lebih serius dimana seorang pekerja Samsung telah memuat-naik dokumen yang membantu dalam mencari kecacatan dalam cip pemprosesan yang dibangunkan.
Ini merupakan satu isu serius kerana urutan ujian dan corak yang digunakan oleh Samsung untuk mencari cip pemprosesan yang kurang memuaskan ini merupakan rahsia syarikat yang tidak sepatutnya dimuat-naik ke internet, khususnya ke perkhidmatan kecerdasan buatan parti ketiga yang akan menyimpan butiran-butiran ini.

Satu lagi insiden ialah apabila seorang lagi pekerja Samsung menggunakan khidmat ChatGPT untuk menyusun data mesyuarat untuk dijadikan sebagai sebuah fail pembentangan. Mesyuarat tersebut juga dilihat mengandungi data sulit syarikat yang tidak sepatutnya diperlihatkan ke sistem parti ketiga di internet.
Samsung mengatakan bahawa walaupun penggunaan ChatGPT dalam syarikat dibenarkan, mereka nampaknya akan cuba untuk membangunkan pembantu kecerdasan buatan mereka sendiri yang memastikan bahawa data-data yang dimasukkan kedalam sistem tersebut akan kekal dalam syarikat tersebut dan tidak dimuat-naik ke mesin pelayan diluar kawalan syarikat tersebut.
Ini merupakan salah satu insiden pertama dimana isu seperti data sulit syarikat dimuat-naik ke sistem kecerdasan buatan secara tidak sengaja. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi samada ketirisan ini akan memberi kesan buruk kepada proses ujian dan pembangunan teknologi Samsung.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]