Cari @ Amanz


Bukan rahsia lagi bahawa Vivo dalam perancangan menghasilkan peranti rekaan clamshell pertamanya dan ia kini telah ditemui tertiris menerusi imej promosi tular. Dikenali sebagai Vivo X Flip dan dijangka diumumkan secara rasmi sekitar bulan ini. Salah satu hal yang menarik pada peranti ialah paparan luarnya yang agak besar.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila ia mengambil ruang lebih daripada separuh bahagian luar peranti. Maklumat mengenai saiz masih belum diketahui tetapi dijangka sama besar dengan Oppo Find N2 Flip. Kelebihan lainya apabila skrin diletakkan pada orientasi melintang yang menjadikannya mempunyai banyak fungsi dan keguaan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna.

Terdapat juga bonggol kamera yang besar disertakan di belakang peranti. Dijangka terdapat sekurang-kurangnya dua sensor kamera di dalam modul ini, tetapi masih belum dapat dipastikan kebenarannya setakat ini. Begitu juga dengan konfigurasinya yang kekal misteri namun desas-desus mengatakan satu daripadanya dipercayai menyokong sensor 50MP. Lensa ZEISS juga akan digunakan pada peranti berikutan terdapatnya penjenamaan turut boleh dilihat.

Tubuh Vivo X Flip juga mempunyai motif berbentuk berlian, di samping turut menawarkan warna ungu yang dilihat mirip dengan pilihan warna pada peranti rekaan clamshell Samsung. Tiada tarikh pelancaran rasmi didedahkan namun dipercaya tiba sekitar bulan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd