Cari @ Amanz

Redmi Note 12 Pro+ telah dilancarkan di Malaysia pada hari ini sebagai sebuah peranti kelas petengahan 5G baharu. Ia diberi nafas baharu bagi membolehkannya berfungsi dengan baik. Pada masa sama, ia juga menerima naik-taraf yang mengetengahkan sistem pengimejan mudah alih lebih menarik bersama ketahanan bateri berpanjangan. Bagi melihat bagaimana prestasi peranti ini dalam penggunaan sebenar? Di sini kami kongsikan untuk bacaan bersama.


SPESIFIKASI

Redmi Note 12 Pro+ 5G
Skrin6.67″ OLED 120Hz
1080 x 2400 pixels, 20:9 ratio (~395ppi)
PemprosesMediatek Dimensity 1080 (6nm)
Cip2 x 2.6 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256GB UFS 2.2
Kamera Utama200MP f/1.7, OIS (Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra sudut-lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri5000mAh
Pengecasan 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanImbasan cap jari sisi
Imbasan wajah
Harga JualanRM1599 (8GB/256GB)

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Bermula dengan rekaan, perubahan besar boleh dilihat pada peranti ini berbanding generasi sebelum ini. Meskipun peranti mempunyai saiz tubuh yang besar, ia masih mudah dipegang kerana cukup lebar. Ini dipadankan pula dengan panel belakang kaca yang melengkung bersama kemasan berkilat yang mudah terdedah kepada kotoran tetapi tidak terlalu licin. Khususnya rona putih Polar White seperti unit ulasan di dalam artikel tetapi warna ini sering menghasilkan sentuhan dekorasi yang minimalis. Namun sekiranya membosankan masih terdapat pilihan warna lain disediakan seperti Iceberg Blue dan Black.

Seterusnya bingkai plastik yang mengelilingi peranti pula direka rata pada bahagian sisi, atas dan bawah. Ini boleh dianggap menarik kerana mampu meningkatkan pengalaman penggunaan lebih baik. Bonggol kamera di bahagian belakang juga tidak melampau seperti model terdahulu malahan lebih mirip dengan sebuah Xiaomi 12. Ini kemudiannya dipadankan pula dengan tri-kamera bersama satu lampu LED Flash yang juga disertakan di dalam bonggol tersebut.

Seterusnya skrin 6.67-inci yang digunakan adalah sama dengan pendahulunya. Ia juga mempunyai bezel yang agak nipis bersama lubang kecil di tengah yang menempatkan kamera swafoto 16MP. Saiz yang sama juga amat memudahkan proses penyesuaian diri menggunakan peranti ini. Dalam masa sama, tiada perubahan mendadak yang dibuat apabila panel hadapan peranti masih sejenis OLED yang juga menyokong kadar segar semula 120Hz dinamik.

Terdapat dua pilihan tetapan disediakan sama ada Default yang membolehkan kadar segar semula ini berubah secara automatik bergantung pada kandungan semasa. Ini bersesuaian buat anda yang begitu mementingkan ketahanan bateri berpanjangan. Kemudian tetapan Custom pula membolehkan pengguna memilih sama ada mahu menggunakan skrin 60Hz atau 120Hz sepanjang masa. Kemudian dengan skrin OLED, kandungan dengan warna yang lebih terang turut dapat dinikmati.

Ia juga mempunyai kecerahan puncak mencapai 900nits, sudut tontonan yang luas, dan penghasilan semula warna cukup bermaya untuk pengalaman tontonan menyenangkan. Pengalaman ini bertambah baik apabila skrin juga dilihat mampu memaparkan butiran yang jelas. Seterusnya tiada isu imej yang dipaparkan tidak lancar dan penggunaan di luar bangunan juga memuaskan kerana skrin mudah dibaca.

Tiada sokongan imbasan cap jari terbina pada skrin meskipun ianya sejenis OLED. Sebaliknya Redmi memilih untuk meletakkan di sisi dengan dua cara penggunaan sama ada ditekan atau disentuh. Ianya diperbuat daripada plastik namun terasa tegap dan terbina pada butang kuasa di bahagian sisi kanan peranti. Prestasinya adalah baik dan pantas, namun tidak pula mesra pengguna bertangan kidal. Selain itu, ia turut boleh ditetapkan sehingga lima pilihan cap jari dalam satu peranti. Sisi kiri pula tidak menempatkan sebarang butang dan lubang.

Sementara itu, bahagian bawah pula menempatkan kekisi audio, port USB-C, lubang mikrofon utama dan slot SIM tanpa sokongan mikro SD. Terdapat juga bicu audio 3.5mm yang diberikan oleh Redmi pada peranti dan ia diletakkan pada bahagian atas bersama-sama dengan satu lagi kekisi audio, lubang mikrofon kedua dan pemancar inframerah. Benar sama sekali, peranti mempunyai pembesar suara stereo yang menembak ke sisi bagi menawarkan kekuatan audio seimbang. Terdapat juga sistem audio Dolby Atmos dan Hi-Fi yang mampu meningkatkan prestasi.

Tidak ketinggalan, peranti juga melepasi penarafan kalis air dan habuk IP53 sebagai pelindungan tambahan. Di samping NFC yang menjadikannya sebuah peranti kelas pertengahan hampir lengkap.


PENANDA ARAS DAN PERISIAN

Cip MediTek Dimensity 1080 dengan memori 8GB LPDDR4X dan storan dalaman 256GB digunakan sebagai tunjang utama peranti ini. Konfigurasi teras 2 + 6 digunakan yang terdiri dengan dua teras Cortex-A78 dan enam teras berasaskan Cortex-A55. Ini dipadankan dengan GPU Mali-G68 serta turut membawakan sokongan rangkaian 5G.

Tiada sokongan mikroSD yang diberikan namun peranti menyokong ciri Memory Extension dengan pilihan penambahan 2GB, 3GB dan 5GB RAM secara maya. Dengan ini, peranti akan mempunyai sehingga 13GB RAM bagi membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan serentak.

Penggunaan dalam dunia nyata tidak memberi masalah yang kronik. Kalau diikutkan, memanglah ianya bukan yang terbaik tetapi peranti mampu memberikan pengalaman memuaskan, baik digunakan untuk bermain permua mahupun tugasan harian. Pengalaman menatal terasa baik dan tiada masalah peranti atau aplikasi yang gagal berfungsi secara tiba-tiba. Ia dilihat mampu sahaja melancarkan lebih 10 aplikasi tanpa perlu proses segar semula.

Beberapa permainan khususnya MLBB boleh dimainkan pada tetapan agak tinggi dengan kadar bingkai konsisten. Seterusnya permua 2D pula langsung tidak menyebabkan peranti menjadi panas melampau. Dibantu lagi dengan ciri Game Turbo terbina yang membolehkan pengalaman lebih baik dinikmati. Fokus turut tidak terganggu apabila sebarang notifikasi atau panggilan masuk boleh diabaikan menerusi tetapan ini. Di sini kami membandingkan peranti dengan beberapa pesaing terdekat dan kutipan keseluruhan markah penanda aras adalah seperti di bawah :

Geekbench 6

  • Redmi Note 12 Pro+ 5G – 960 / 2288
  • Samsung Galaxy A54 5G – 755/2663

Antutu 3D

  • Redmi Note 12 Pro+ 5G – 463,849
  • Samsung Galaxy A54 5G – 502,442

Perisian MIUI 14 digunakan yang berasaskan Android 12. Kita sudah di bulan April 2023 dan Redmi masih menggunakan Android 12 yang boleh dianggap sudah usang. Elemen antaramuka baharu ini tidak terlalu berbeza berbanding sebelum ini sekaligus amat memudahkan proses penyesuaian diri menggunakan peranti. Keseluruhannya mudah difahami, lancar, kemasan dan cantik dengan ikon yang ceria. Ia juga menawarkan sokongan membuka aplikasi semasa di dalam tetingkap terapung. Namun hanya terhad kepada satu aplikasi dalam satu masa.

Sebagai pilihan sokongan pintas pintas turut disediakan menerusi sidebar yang menyediakan lebih banyak pilihan aplikasi sama ada permainan atau video. Seterusnya peranti juga menawarkan pilihan Always on Display dengan tetapan pelbagai gaya, di samping juga menyokong ciri Memory Extension dengan pilihan penambahan 2GB/3GB/5GB RAM secara maya. Peranti turut dimuatkan dengan ciri tambahan lain seperti Dual Apps, Emergency SOS, Video Toolbox, Game Turbo, Second Space dan Lite Mode. Isu iklan juga berkurang namun kewujudan aplikasi gendut terpasang masih boleh ditemui selepas peranti dibuka.


KAMERA DAN KUALITI GAMBAR

Seperkara lagi yang sepatutnya menjadi perhatian pada peranti ialah kamera lebar 200MP dengan OIS. Ia kemudiannya dipadankan dengan sensor ultra-lebar 8MP dan makro sebesar 2MP. Kamera boleh mengambil gambar pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh. Sistem kecerdasan buatan terbina juga memudahkan peranti menawarkan tetapan terbaik berdasarkan keadaan semasa, seterusnya kebolehan zum pula maksima sehingga 10X yang menggunakan perisian. Di samping itu, kamera turut membenarkan rakaman sehingga 4K/30FPS dibuat sama ada menerusi mod rakaman biasa atau Movie Frame.

Terdapat juga pilihan rakaman video makro diberikan dengan resolusi terhad pada 720P/30FPS. Kamera swafoto pula 16MP dengan kebolehan rakaman video 1080P/30FPS. Seperti biasa, antaramuka kamera tidak menunjukkan perubahan besar berbanding peranti Redmi sedia ada. Pelbagai jenis mode kamera terbina disediakan seperti Pro, Documents, Video, Photo, Portrait dan Night.

Ruangan More pula membolehkan anda mengakses beberapa ciri tambahan lain seperti Ultra HD, Short Video, Panorama, VLOG, Slow motion, Time-lapse dan long exposure. Kami perlu menyentuh sedikit mengenai UltraHD Mode yang secara lalainya menawarkan tangkapan pada 50MP. Justeru pastikan butang khusus 200MP di bahagian atas diaktifkan terlebih dahulu bagi memastikan imej diambil dalam resolusi yang sepatutnya.

Prestasi kamera boleh dilihat menerusi beberapa gambar yang kami lampirkan. Penghasilan semula imej menggunakan kamera utama nampak memuaskan dengan julat dinamik memuaskan untuk kebanyakan situasi. Penghasilan semula warna imej juga bermaya dan terang bersama butiran yang boleh diterima khususnya dalam tangkapan mod 50MP dan 200MP (meskipun gambar dicrop dengan pasca proses yang melampau). Ini termasuklah kegunaan di dalam dan luar bangunan dengan pencahayaan yang cukup.

Tahap kontras juga baik yang dirasakan sesuai sahaja untuk terus dimuatnaik ke dalam media sosial tanpa suntingan tambahan. Pengalaman yang sama turut boleh dilihat menerusi hasil potret kamera utama yang mampu memberi keperincian yang kini lebih teliti pada objek seperti rambut dan kulit. Ia bukanlah yang terbaik tetapi kamera masih mampu memberikan hasil yang memuaskan meskipun tanpa lensa kedalaman khusus diberikan.

Perubahan warna mula disedari apabila menyentuh mengenai perubahan sensor lebar ke ultra-lebar. Penghasilan semula warna berubah menjadi kekuningan berbanding lensa sudut lebar. Keadaan bertambah kurang memuaskan apabila kegagalan imej memberi hasil yang memuaskan baik digunakan sewaktu siang mahupun malam hari. Ia bukan sahaja menunjukkan penghasilan semula warna yang tidak bermaya, malahan masalah hingar juga jelas kelihatan pada imej.

Kamera bagaimanapun masih mampu berfungsi dengan baik untuk tangkapan gambar malam dengan warna yang boleh diterima. Pengalaman bertambah baik dengan adanya mod malam terbina yang sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan lagi kualiti gambar. Namun begitu tidaklah begitu sempurna kerana masalah hingar masih wujud melaluinya.

Tiada kebolehan zum tinggi diberikan memandangkan ianya sekadar sebuah peranti kelas pertengahan. Kami hanya mengesyorkan zum sehingga 2X sahaja untuk hasil gambar yang baik. Selebihnya pula memberi hasil yang kurang memuaskan dengan perincian pada imej yang mula hilang bersama warna menjadi tidak bermaya.

Kewujudan kamera makro 2MP pula tidaklah seteruk disangka malahan hasilnya masih boleh diterima selepas melalui pasca proses yang melampau. Sokongan mod makro terbina menambah baik pengalaman tetapi mengambil sedikit masa untuk fokus dengan baik pada subjek.


KETAHANAN BATERI

Redmi Note 12 Pro+ 5G didatangkan dengan bateri 5000mAh lebih besar berbanding bateri 4500mAh pada pendahulunya. Ini dipadankan pula dengan sistem pengecasan pantas 120W yang turut diberikan di dalam kotak pembelian. Bateri peranti berada di tahap 51% sewaktu awal diterima pada sekitar jam dua petang, yang kemudiannya boleh bertahan hingga jam 6 petang dengan baki bateri di tahap 5%.

Kemudian kami mengecas penuh dan tiada masalah peranti bertahan melebihi sehari dengan kegunaan yang ringan seperti menyemak media sosial atau membalas mesej. Pada penggunaan berat sepanjang hari pula pula peranti boleh bertahan diantara 8 hingga 13 jam dengan skrin terpasang dan bateri berbaki 13%. Ia boleh dicas semula menggunakan port USB-C dan sistem pengecasan yang diberikan bagi membolehkan peranti dicas penuh dengan cepat.

AUDIO

Ada speaker stereo lengkap dengan Dolby Atmos. Kelantangan speaker fizikal adalah memuaskan untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Lebih menarik ialah masih ada bicu audio 3.5mm di bahagian atas yang boleh dilihat sebagai ciri bonus. Dari segi kemampuan audio, Note 12 Pro+ adalah lebih daripada memuaskan.


PERANTI PESAING

Redmi Note 12 Pro+ 5GSamsung Galaxy A34 5G Vivo V27
6.67″ AMOLED
1080 x 2400 piksel 120Hz
6.6″ Super AMOLED,
1080 x 2340 piksel 120Hz
6.78″ AMOLED
(1080 x 2400 piksel), 120Hz
Dimensity 1080 (6nm)
2 x 2.6 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 1080 (6nm)
2 x 2.6 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 7200 (4nm)
2 x 2.8 GHz Cortex-A715
6 x 2.0 GHz Cortex-A510
Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4Mali-G610 MC4
8GB RAM
256GB ROM
8GB
256GB
Mikro SD 1TB
8/12 GB RAM
256GB ROM
200MP f/1.7, OIS (Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra sudut-lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
48MP f/1.8, OIS (Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra sudut-lebar)
5MP f/2.4 (Makro)
50MP f/1.9, OIS (Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra sudut-lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
16MP f/2.513MP f/2.250MP f/2.5
Bicu audioTiada bicu audioTiada
Audio stereoAudio stereoAudio mono
5000mAh
Pengecasan 120W
5000 mAh
Pengecasan berwayar 25W
4600mAh
Pengecasan 66W
RM1599 (8GB/256GB)RM1599 (8GB/256GB)RM1799 (8GB/256GB)
RM1999 (12GB/256GB)

APA DI DALAM KOTAK?

  • 1x Redmi Note 12 Pro+ 5G.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Pengecas 120W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Redmi Note 12 Pro+ 5G menerima peningkatan yang baik berbanding generasi sebelum ini. Bukan sahaja rekaan dan kemasan yang diberi nafas baharu, malahan peningkatan ketara turut boleh ditemui pada kamera utama yang kini menyokong sensor 200MP. Cip MediaTek Dimensity 1080 yang digunakan juga baik digunakan untuk aktiviti harian dan bermain permua. Begitu juga dengan kapasiti bateri lebih besar mampu memberi ketahanan peranti yang berpanjangan.

Cumanya sistem Android 12 yang diberikan pula boleh dianggap sudah usang. Seterusnya masalah kamera 8MP ultra lebar yang gagal berfungsi dengan baik dan ketiadaan ruang slot mikro SD juga secara tak langsung mencacatkan telefon ini sendiri. Tetapi Redmi dengan bijak menggantikannya dengan ciri pengembangan RAM secara maya sehingga 7GB RAM.

Perlukah anda membelinya? Perlu sekiranya anda memerlukan peranti kelas pertengahan dengan skrin OLED yang cantik, kamera 200MP dan ketahanan bateri memuaskan. Peranti bagaimanapun tidak sesuai buat anda yang mahukan sistem operasi terkini.


PRO

  • Skrin OLED yang terang dan cantik.
  • Berat tetapi seimbang di tangan tanpa memberi bebanan.
  • Kadar segar semula 120Hz berfungsi dengan baik.
  • Ketahanan bateri lebih panjang dan pengecas 120W
  • Kalis air IP53.
  • Mempunyai pemancar infra merah.

KONTRA

  • Tiadanya ruang slot mikro SD.
  • Masih menggunakan Android 12.
  • Skrin AMOLED tetapi pengimbas jari sisi.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd