Cari @ Amanz

Sony telah mengumumkan fon telinga nirwayar baharunya menerusi WF-C700N. Pelbagai ciri menarik diberikan padanya seperti pembatalan hingar, kalis air dan audio 360 darjah. Seterusnya turut boleh dijadikan alternatif kepada WF-1000XM4 yang lebih mampu milik.

Bagi yang berminat, fon telinga nirwayar ini sudah boleh dibeli di Malaysia pada harga RM549 dengan pilihan warna hitam, hijau, ungu dan putih. Setiap pembelian didatangkan dengan kredit TNG e-wallet sebanyak RM50 secara percuma. Ketersediaan bermula sekarang menerusi kedai atas talian rasmi dan pengedar sah Sony di seluruh Malaysia.

Sony WF-C700N merupakan set fon telinga nirwayar dari jenis dalam telinga (in-ear) bertangkai dengan putik silikon. Ini dipadankan pula dengan pemandu audio sebesar 5mm dengan berat kira-kira 4.6 gram sahaja. Seterusnya, tambatan ke peranti pula boleh dibuat menerusi Bluetooth 5.2 yang turut sama menyokong sambungan dua peranti secara serentak.

Terdapat sokongan codec SBC dan AAC tanpa LDAC diberikan. Namun ia menjadi lebih menarik apabila mempunyai sokongan audio 360 Reality Audio, Digital Sound Enhancement Engine (DSEE) dan Dolby Atmos apabila dipadankan dengan TV Sony Bravia. Ia juga boleh digunakan untuk bersenam kerana melepasi piawaian IPX4.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd