Bulan ini adalah giliran saya menguji banyak peranti asas dan peranti kelas pertengahan selepas berbulan saya uji peranti mercu dan yang premium sahaja. Mengejutkan banyak aspek peranti dalam kelas ini telah berubah dan saya tiada masalah menggunakannya sebagai peranti harian.

Peranti yang saya akan kongsi pengalaman penggunaan saya ini adalah OnePlus Nord CE 3 Lite iaitu peranti kelas pertengahan asas terbaru mereka. Peranti ini menawarkan perisian yang padu tetapi mengganggu penggunaan saya dengan prestasi yang sendu. Kenapa, jom baca artikel ini sehingga tamat?
SPESIFIKASI
OnePlus Nord CE 3 Lite | |
---|---|
Skrin | 6.72″ LCD, 1080 x 2400 , 120Hz |
Pemproses | Snapdragon 695 5G (6nm) |
Cip | 2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver |
Cip Grafik | Adreno 619 |
RAM | 8 GB LPDDR4X Memori Maya 6/8 GB |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 2.2 Mikro SD |
Kamera Utama | 108MP f/1.7 Sudut Lebar 2MP f/2.4 Makro 2MP f/2.4 Sensor Kedalaman |
Kamera Swafoto | 16MP f/2.4 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi |
Harga Jualan | RM 1099 (8/256 GB) |
SKRIN
Jangan terkejut apabila saya katakan pengalaman menggunakan skrin 6.72″ LCD 120Hz OnePlus Nord CE 3 Lite ini adalah lebih kurang sama dengan Realme C55 yang ratusan ringgit lebih murah. Sama ada peranti kelas asas Realme sudah menjadi semakin baik atau OnePlus ingin jimat kos menggunakan komponen peranti asas pada peranti terbaru mereka ini.

Saya masih tidak sukakan bezel tebal dengan dagu nampak menjengkelkan. Tetapi saya sukakan warna skrin yang terang, tajam dan nampak baik untuk penggunaan harian. Saya tiada masalah menonton video di Netflix dengan resolusi HD atau video berkualiti pada YouTube.

Isu saya adalah pada kadar segar semula 120Hz yang tidak konsisten. Di pelancar dan ketika menggunakan aplikasi Google atau OnePlus sendiri tiada masalah tetapi pada aplikasi lain dan di tetapan ia kerap menjadi tersangkut-sangkut. Saya sedari ini adalah isu sama berlaku pada mana-mana peranti BBK Electronics yang berharga sekitar RM1000 atau ke bawah.
REKAAN
Sejak ke belakangan ini apabila saya melihat peranti kelas pertengahan OnePlus, Oppo dan Realme semuanya kelihatan lebih kurang sama sahaja. Sisi dan skrin yang rata dan dua bonggol kamera bulat di belakang yang terkeluar. Binaan pula lebih kurang sama dengan cuba nampak premium dan sedap dipegang. OnePlus Nord CE 3 Lite ini sekali pandang nampak seakan sebuah peranti mercu dan bukannya peranti mampu milik.

Selepas berminggu menggunakan peranti ini dagu tebal itu terus hilang dan saya tidak boleh mengeluh lebih kerana itu adalah kekangan teknologi LCD. Saya turut bersyukur yang sudah tahun 2023 pengeluar peranti masih menyertakan port bicu audio 3.5mm.
Peranti ini mudah dikendalikan walaupun panel belakang yang licin dan mudah menangkap kotoran cap jari. Ini kerana sisi peranti diperbuat daripada kemasan yang kusam yang memberi cengkaman tambahan.


Di atas hanya ada satu lubang mikrofon, di bawah port bicu audio 3.5mm, satu lagi lubang mikrofon, port USB-C dan kekisi audio. Sisi kanan hanya ada butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dan butang aras suara di sisi kiri. Dari segi rekaan peranti ini tiada elemen rekaan OnePlus yang terkenal.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – OxygenOS 13.1
Jangan terkejut apabila saya katakan Nord CE 3 Lite ini adalah peranti OnePlus pertama yang menjalankan sistem operasi Oxygen OS 13.1. Peranti mercu mereka OnePlus 11 pun masih menggunakan versi lama. Ini adalah satu gimik OnePlus membuktikan peranti kelas pertengahan asas seperti ini turut dapat menikmati pengalaman penggunaan perisian yang sama pada peranti mercu.

Cip Snapdragon 695 5G sebenarnya masih sama dengan Nord CE 2 Lite. Tetapi memori 8GB RAM dengan sokongan memori maya 8GB RAM menjadikan Nord CE 3 Lite sebuah peranti 16GB RAM pada harga sekitar RM1000. Ini sedikit sebanyak menjadikan peranti ini mampu beroperasi pada kadar lebih lancar dan tidak seperti pada Realme C55.
Oxygen OS tidak dinafikan tiada banyak beza dengan ColorOS dan Realme UI. Tetapi masih terdapat beberapa elemen pada Oxygen OS yang menjadikannya sebagai satu sistem operasi peranti Android yang bagus. Cuma jangan haraplah anda boleh dapat nikmati pengalaman “fluid” yang benar-benar lancar dan pantas seperti pada peranti Nord biasa atau peranti mercu OnePlus.

Penggunaan peranti ini menjadi kurang lancar apabila kadar segar semula 120Hz tidak konsisten dan sentuhan kadangkala terlampau sensitif sehinggakan apa yang saya tidak ingin tekan tertekan. Tetapi isu ini berlaku secara rawak dan sekitar dua minggu penggunaan saya alami masalah ini sekitar kurang 10 kali.
OnePlus turut menyertakan banyak ciri dan fungsi menarik untuk cuba menarik perhatian orang ramai menggunakan peranti ini. Tetapi banyak perubahan ini berlaku di latar belakang seperti membaiki pepijat, mengukuhkan sekuriti dan memastikan kestabilan sistem.

Ada beberapa ciri menarik yang saya sedari disertakan pada peranti ini iaitu;
- Air Gestures – Kawalan gestur tapak tangan untuk menjawab atau membisukan panggilan telefon.
- Dirac Audio Tuner – Alternatif kepada Dolby Atmos dengan aras suara boleh mencapai 200%.
- RAM Expansion – Menambah memori maya dari 4GB ke 8GB menjadikan peranti mempunyai RAM sehingga 16GB.
- Special Features – Ciri dan fungsi tambahan yang sama dengan peranti mercu Oppo dan Realme seperti Flexible Windows, Smart Sidebar, Split Screen dan banyak lagi.
- Wallpaper & Style – Ciri kustomasi Android 13 Material You yang boleh mengubah tema warna mengikut tona warna gambar latar dan banyak lagi.
PENANDA ARAS
Qualcomm Snapdragon 695 5G adalah cip yang baik untuk peranti kelas pertengahan asas. Setakat permua ringan, aplikasi produktiviti dan sambungan 5G cip ini tidak dinafikan cukup sesuai digunakan pada banyak peranti mampu milik. Pada OnePlus Nord CE 3 Lite cip ini dipadankan dengan memori 8GB RAM (+8GB RAM maya) LPDDR4X dan storan dalaman 256GB UFS 2.2. Perisian pula versi terkini iaitu Oxygen OS 13.1 yang belum digunakan di mana-mana peranti OnePlus lain.

Permua yang saya uji adalah Marvel Snap yang mana cukup baik dengan tetapan tinggi + 60fps tetapi tidak menarik selepas lebih 10 sesi permainan. Pergerakan masih ada yang tersangkut dan lengah masa rawak masih berlaku. Asphalt 9 walau bagaimanapun adalah lancar pada tetapan tinggi dan memberi pengalaman yang cukup memuaskan.
Geekbench 6
- OnePlus Nord CE 3 Lite – 876/1972
- Samsung Galaxy A34– 1032/2254
AnTuTu 3D
- OnePlus Nord CE 3 Lite – 400,999
- Samsung Galaxy A34 – 474,409
3DMark
- OnePlus Nord CE 3 Lite – 1209
- Samsung Galaxy A34 – –

TELEFONI Dan GPS
Walaupun peranti ini menyokong 5G saya tidak berpeluang menguji rangkaian ini pada Nord CE 3 Lite. Tetapi sambungan 4G dengan VoLTE serta VoWiFi pada peranti ini bagus sekali. Bukan panggilan telefon mempunyai suara jelas sahaja, akses Internet pun pantas dan stabil dengan GPS juga tiada masalah mengunci lokasi untuk arahan selok-belok yang baik.
KAMERA
OnePlus kali ini membawakan kamera 108MP pada peranti Nord CE mereka. Ini adalah satu-satunya kamera yang benar-benar berguna, penting dan mengejutkan mempunyai kualiti yang agak memuaskan untuk peranti dalam kelasnya. Walaupun saya perasan yang peranti mengambil sedikit masa untuk pasca-proses kerana hasil akhir tidak terus keluar selepas ditangkap.
Dua sensor 2MP lain pada peranti ini pada saya tidak berguna langsung. Seakan tidak memberi sumbangan atau membantu untuk meningkatkan lagi kualiti kamera peranti. Zum pun hanya digital dan tiada sebarang penstabilan atau sistem yang mencantikkan gambar. Mod sudut ultra-lebar juga tidak disertakan.




Warna yang kamera peranti ini hasilkan sebenarnya cantik dan tajam. Dalam beberapa situasi butiran juga dipelihara dengan baik. Mod potret kadang-kala sahaja menjadi dengan hasil yang anda sendiri tidak sangka peranti ini yang menghasilkannya. Kamera swafoto pada peranti ini juga hebat dengan butiran yang jelas dan tidak terlampau lembut. Ini adalah peranti kelas pertengahan asas dengan kamera yang yang memuaskan.




BATERI
Bateri 5000mAh pada peranti ini cukup bagus. Peranti boleh bertahan pada jangka masa panjang iaitu hampir sekitar 7 jam 30 minit SOT untuk lebih satu hari penggunaan. Saya main permua, aktif dengan kamera, aplikasi media sosial dan banyak lagi dan setiap hari saya akan ada baki bateri sekitar 10% sebelum cas semula. Pengecasan SuperVOOC 67W juga pantas iaitu 30 minit pengecasan cukup untuk sehari penuh penggunaan.

AUDIO
Terpulang kepada anda ingin percaya atau tidak kerana OnePlus Nord CE 3 Lite tidak mempunyai speaker yang bagus. Ia tidak menawarkan audio yang memuaskan dengan bass yang entah ke mana serta butiran yang tidak terkawal sehingga kadang-kala suara pecah. Tetapi di Netflix ia menyokong “Audio Ruang” atau audio spatial yang memberi pengalaman penggunaan imersif.
PESAING
OnePlus Nord CE 3 Lite | Realme 10 Pro Coca-Cola Edition | Samsung Galaxy A34 |
6.72″ IPS LCD, 90Hz FHD+ | 6.72″ IPS LCD, 120Hz FHD+ | 6.6″ Super AMOLED, 120Hz FHD+ |
Snapdragon 695 5G (6nm) 2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver | Snapdragon 695 5G (6nm) 2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver | MediaTek Dimensity 1080 (6nm) 2 x 2.6 GHz Cortex-A78 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Adreno 619 | Adreno 619 | Mali-G68 MC4 |
8GB LPDDR4X | 8GB LPDDR4X | 6GB LPDRR4X |
256GB UFS2.2 Mikro SD | 128GB UFS2.2 Mikro SD | 128 GB UFS 3.1 Mikro SD |
Kamera Utama 64MP f/1.7, (Sudut Lebar) 2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman) 2MP f/2.4, (Makro) AI, 1080p 30fps | Kamera Utama 108MP f/1.75, (Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Potret) Street Mode | Kamera Utama 48MP, f/1.8 Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Sudut Ultra-Lebar) 5MP f/2.4 (Makro) 1FHD080p 30p |
Kamera Hadapan 16MP f/2.4 | Kamera Hadapan 16MP f/2.45 | Kamera Hadapan 16MP f/2.2 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Tiada |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 67W) | 5000 mAh (Berwayar 33W) | 5000 mAh (Berwayar 25W) |
RM 1099 (8/256GB) | *RM1130 (*pertukaran mata wang INR ke MYR) | RM1599 (6/128 GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x OnePlus Nord CE 3 Lite.
- 1x Pengecas 67W.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Kerangka pelindung silikon.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Saya faham apa yang OnePlus cuba lakukan pada Nord CE 3 Lite ini. Mereka ingin kekalkan penawaran pengalaman penggunaan peranti mercu pada peranti kelas pertengahan asas dengan memberikan perisian yang lebih terkini. Tetapi jika pengoptimasian tidak dilakukan dengan baik untuk ia beroperasi pada cip bukan kelas mercu, sukar untuk diterima orang ramai. Syukur kamera 108MP pada peranti ini nampak cantik dan kemas dan boleh digunakan untuk perkongsian ke media sosial.

Biarpun perisiannya padu tetapi jika prestasi sendu tiada gunanya. Pada harga RM1099 anda menerima sebuah telefon dengan perisian terkini, kamera yang elok, bateri yang tahan lama dan pengecasan pantas ia adalah satu nilai yang baik. Peranti kelas pertengahan asas ini sesuai untuk para remaja yang masih di sekolah atau mereka yang inginkan peranti sandaran.
Pro
- Rekaan biasa tetapi kemasan nampak premium.
- Prestasi yang boleh diterima.
- Kamera 108MP yang elok untuk peranti RM1099.
- Pengecasan pantas 67W dan bateri tahan lama.
Kontra
- Skrin tidak begitu pantas dan dagu tebal.
- Audio yang tidak enak.
- Kamera 2MP yang tidak berguna.
- Perisian terkini agak berat untuk cip bukan kelas mercu.
