Carian
Peter Li –  Fokus Pico Studio Untuk Penghasilan Permainan Realiti Maya Yang Lebih Imersif
April 5, 2023 Ikhwan Nazri

Di acara GDC 2023, selain dari temubual dengan Zhang Jiang selaku pengarah ( runtime ) , kami turut berkesempatan untuk menemubual Peter Li, iaitu Pengarah Pico Studios dan bertanggungjawab untuk sebarang kerjasama dan pembangunan ekosistem permainan Pico. 

Dibawah kelolaan beliau, Pico Studios bertanggungjawab untuk membawakan kandungan namun Peter turut menerangkan yang mereka bukanlah beroperasi seperti studio penerbit permainan kebiasaan. Ini kerana mereka juga akan bekerjasama dengan penerbit permainan yang lain dalam menghasilkan permainan yang khusus dibangunkan untuk Pico. 

Set Kepala Realiti Maya Perlu Memberikan Pengalaman Yang Lebih Imersif

Sehingga kini, terdapat lebih dari 300 permainan menerusi Pico Store dan kesemua permainan tersebut bukanlah permainan yang dibangunkan oleh Pico Studio, tetapi oleh penerbit dan pembangun lain. Peter Li turut berkongsi bilangan permainan tersedia itu bakal meningkat sehingga 450 permainan. 

Pico Studio pula hanya akan memfokuskan dalam pertambahan fungsi dan meningkatkan pengalaman permainan dengan cara menggunakan kesemua fungsi serta ciri-ciri yang terdapat pada set kepala realiti maya Pico. Oleh itu permainan yang bakal dihasilkan mereka berkemungkinan lain dari permainan biasa. 

Peter Li turut menambah yang mana pengalaman bermain menggunakan set kepala realiti maya perlulah lebih aktif, dan mungkin akan membuatkan keseluruhan badan bergerak. Malah mereka sedang membangunkan teknologi yang boleh menjejak pergerakan keseluruhan badan, supaya dapat digunakan dalam permainan. 

Jika dilihat pada alat pengawalan Pico yang mempunyai gegelung, tersembunyinya sensor pengesanan membolehkan penjejakan gerakan tangan yang lebih persis. Dan keseluruhan teknologi baharu ini akan dicuba, bagi membolehkan interaksi dunia sebenar dan dunia maya bergabung, memberikan pengalaman permainan yang sangat imersif. 

Pergerakan Kaki Bakal Hadir Pada Pico

Berkongsi lebih banyak lagi mengenai pengalaman permainan, adalah mengenai pembangunan sistem penjejakan kaki, yang mungkin membolehkan pemain berjalan setempat atau menendang, sekaligus melakukan aksi sama dalam permainan. Ini semestinya akan meletakkan Pico di hadapan peranti set realiti maya yang lain, dan turut menambah corak permainan yang boleh ditawarkan oleh Pico. 

Namun ini bakal menjadi cabaran bukan sahaja untuk Pico Studios, malah dengan studio penerbit permainan yang lain jadi Pico komited dalam membawakan teknologi ini, dan akan bekerjasama bagi membolehkan pembangun mencipta permainan yang unik yang memanfaatkan teknologi penjejakan pergerakan keseluruhan badan. 

Menutup wawancara, Peter turut menerangkan yang mana Pico Studios turut melabur dalam beberapa penerbit permainan, serta turut bekerjasama dengan beberapa pembangun permainan indie. Namun tidak semua penerbit permainan akan menerima kit pembangunan permainan (SDK). Akan tetapi seperti yang sedia maklum, setiap set kepala realiti maya Pico merupakan SDK

Komen