Cari @ Amanz

Hari ini Xiaomi turut melancarkan lima kamera pintar baharu yang akan memudahkan anda untuk memantau situasi dalam dan di luar rumah ketika anda sedang bercuti. Kamera ini semua mempunyai teknologi kecerdasan buatan untuk penjejakan pergerakan manusia dan kualiti imej/video yang lebih berkualiti.

Setiap kamera ini turut menyokong panggilan suara dua-arah di mana pengguna boleh berkomunikasi atau memberi amaran terus pada telefon pintar dan audio akan disiarkan pada kamera di rumah.

Xiaomi Smart Camera C400, C300 Dan C200

Xiaomi C400 adalah model paling mercu dengan harga jualan RM239. Kamera pintar ini menggunakan sensor kamera 4MP dan menyokong resolusi 2.5K. Xiaomi C300 pula dijual pada harga RM199 dengan sensor 3MP dan rakaman 2K ultra-clear HD. Sementara Xiaomi C200 adalah model paling murah dengan harga RM149. Kamera ini menggunakan sensor 2MP dan menyokong rakaman FHD sahaja.

Setiap rakaman yang disimpan turut disulitkan agar tidak boleh diakses oleh orang luar. Menariknya semua kamera pintar Xiaomi ini turut menyokong sambungan WiFi 2.4GHz dan 5GHz. Slot untuk kad mikro SD turut disediakan untuk menyimpan lebih banyak video dan gambar.

Xiaomi Smart Camera C400, C300 dan C200 boleh juga digunakan untuk rakaman 360 darjah paparan panaromic. Seperti produk pintar Xiaomi lain ketiga-tiga kamera ini boleh dikawal menggunakan Mi Home dan Google Assistant.

Xiaomi Outdoor Camera AW300 Dan AW200

Berbeza dengan tiga kamera di atas, seperti namanya kamera pintar Xiaomi di bawah siri AW ini adalah untuk digunakan di luar rumah. Menjadi alternatif kepada sistem kamera litar tertutup. Xiaomi Outdoor Camera AW300 menyokong rakaman 2K ultra-HD 2K dengan sokongan mod Spotlight. Bukan itu sahaja untuk ketahanan berpanjangan perlindungan IP66 turut disertakan untuk mengelak dari air dan debu masuk.

Model AW200 pula hanya menyokong perlindungan IP65 dan rakaman FHD 1080p sahaja. Tetapi kedua-dua kamera ini menyokong panggilan suara dua-arah dan penjejakan kamera AI untuk memastikan tiada pergerakan mencurigakan.

Harga jualan bagi AW300 adalah RM199 sementara AW200 adalah RM149 dan seperti siri C di atas model ini turut menyokong kawalan dengan aplikasi Mi Home serta menggunakan Google Assistant.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd