Cari @ Amanz

Honor Magic5 dan Magic5 Pro dilancarkan di Malaysia hari ini. Tetapi kami rasakan tumpuan adalah lebih kepada Honor Magic Vs yang merupakan telefon boleh lipat mercu pertama daripada Honor di Malaysia. Ia adalah dari jenis dwi-skrin dengan skrin luar 6.45″ OLED 120Hz yang mempunyai nisbah skrin mirip telefon candybar biasa.

Di bahagian dalam pula terdapat skrin 7.9″ OLED 90Hz yang boleh dilipat. Kandungan HDR10+ boleh dinikmati pada kedua-dua skrin. Skrin dalaman ini turut menyokong sokongan stylus tetapi ia tidak ditawarkan sekali dan tanpa tempat simpanan terbina pada tubuh peranti.

Peranti menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 5000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W secara berwayar. Ini menjadikan Magic Vs peranti skrin boleh-lipat dengan kapasiti terbesar setakat ini.

Spesifikasi kamera pula ialah 54MP sudut lebar, 50MP ultra sudut lebar, dan 8MP telefoto dengan zum optikal 3X yang dilengkapi OIS. Kamera utama ini boleh melakukan zum digital sehingga 30X. Di hadapan pula sensor 16MP yang sama digunakan untuk kamera swafoto dan sebuah lagi kamera 16MP diletakkan pada skrin boleh lipat.

Peranti turut hadir dengan speaker stereo, pengimbas cap jari di bahagian sisi, dan pemancar infra merah pada bahagian atas peranti. Ia turut menggunakan MagicOS 7.1 yang berasaskan Android 13. Sedikit mengecewakan Magic Vs tidak mempunyai kemampuan kalis air seperti Z Fold4.

Di Malaysia Honor Magic5 Vs dijual pada harga RM5999 sebuah dalam warna Black, dan Cyan. Sempena pelancaran rasmi di Malaysia, Honor menawarkan jaminan menukar kedua-dua skrin yang rosak secara masuk dalam tempoh 180 hari pertama. Turut diberikan ialah hadiah percuma bernilai RM2200 dengan setiap pratempahan yang dibuka hari ini 6 April. Jualan terbuka peranti hanya kabn dilakukan pada 28 April.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd