Cooler Master, jenama peranti dan aksesori gaming yang terkemuka baru-baru ini telah memperkenalkan aksesori fon kepala gaming terbaru mereka, CM CH331 yang dilihat memfokuskan kepada binaan dan kualiti audio pada tanda harga mampu milik.

Dari segi rekaan, fon kepala ini hadir dengan rangka yang diperbuat daripada aluminum dengan kuk berbentuk huruf Y yang merumahkan alas telinga dan kepala yang selesa dan juga mempunyai peluncur yang boleh diubahsuai untuk memuatkan pelbagai saiz kepala. Alas telinga fon telinga CH331 ini juga direka khusus supaya ia boleh memuatkan pelbagai saiz telinga dan menjanjikan penggunaan selesa walaupun apabila digunakan untuk berjam-jam.

Fon kepala ini tampil dengan penggunaan pemandu audio 50mm yang digabungkan dengan penggunaan perisian yang membolehkan fon kepala ini hadir dengan fungsi audio sekeliling 7.1 secara maya, yang dilihat membantu khususnya jika anda seorang yang gemar bermain permainan yang memanfaatkan fungsi audio berjarak dekat seperti permainan-permainan FPS multi-pemain yang popular.

CM CH331 ini juga hadir dengan mikrofon yang boleh ditanggalkan dan mempunyai pengawal audio terbina di bahagian wayar yang bukan sahaja boleh mengawal kelantangan audio dan pengaktifan mikrofon tetapi juga sistem pencahayaan yang terbina didalam fon kepala ini.
Cooler Master Malaysia mengesahkan bahawa fon kepala ini sudahpun dilancarkan di pasaran tempatan pada harga mampu milik RM149.
- Sumber
- Cooler Master