Google Akan Tambah Ciri Chat Terus Pada Carian – Seperti ChatGPT Dan Bing
Aman
Google sedia berkongsi perancangan mengintegrasikan kecerdasan buatan pada carian, dan kini melalui temuramah bersama WSJ, CEO Google, Sundar Pichai menyatakan kelak pengguna boleh bertanyakan soalan dan berinteraksi pada carian Google.

Perkara ini sedia dijangka ramai, dan ini kali pertama CEO Google mengesahkan perancangan ini. Sebelum ini, pihak Microsoft sedia menyertakan ciri carian berbentuk perbualan pada Bing, dinamakan Bing Chat. Ia menggunakan teknologi sama seperti ChatGPT.
Dengan integrasi terus pada enjin carian, ia membolehkan data yang lebih terkini diketengahkan kepada pengguna.
Google buat masa ini, tidak berkongsi latar masa pengenalan ciri berkenaan. Sebelum ini, Google sedia memperkenalkan ciri perbualan bersama kecerdasan buatan untuk mendapatkan jawapan, dinamakan Bard. Ia ditawarkan melalui halaman berasingan, dan bukan pada halaman carian Google sendiri.