Cari @ Amanz

Pada saat ini segmen peranti boleh lipat tidak lagi asing dalam kalangan pengguna dan pengeluar. Malahan ‘peperangan’ peranti sebegini juga telah lama bermula dengan pelbagai pengeluar yang berkejar-kejaran untuk menghasilkannya. Misalnya seperti Samsung menerusi siri Galaxy Fold dan Flip, kemudian Huawei pula dengan siri Mate X dan beberapa lagi jenama lain seperti Oppo, Honor serta Vivo. Kesemuanya juga menarik dengan keunikan tersendiri yang dapat dilihat daripada cara serta pendekatan pengeluar menghasilkannya.

Huawei Mate X3 merupakan peranti dengan skrin boleh lipat paling terkini dan pelancarannya dilihat mampu memberi harapan baharu terhadap segmen berkenaan. Ia telah diberi nafas baharu untuk berfungsi dengan baik, di samping turut diperkasakan bersama ciri dan fungsi yang diperlukan pengguna masa kini. Misalnya seperti rekaan lebih nipis, ringan dan kalis air. Tidak keterlaluan dikatakan, jika telefon pintar baharu Huawei ini boleh menjadi pencabar kepada Samsung Galaxy Z Fold 4. Kenapa? Kami akan kongsikan dalam artikel pandang pertama di bawah.


SPESIFIKASI

Huawei Mate X3
SkrinDalam – 7.8″ OLED
Luar – 6.4″ OLED
2200 x 2480 pixel, 120Hz, 1.07 billion color
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 4G (4 nm)
Cip1 x 3.19 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalamansehingga 512 UFS 3.1
Kamera Utama50MP, f/1.8, (lebar)
12MP, f/3.4, OIS, 5x zum optikal
13MP, f/2.2, (ultra lebar)
[email protected]/60fps, [email protected]/60fps, gyro-EIS
Kamera Swafoto8MP (Dalam)
8MP (Luar)
Bateri4800mAh (Global) & Silicon-carbon 5060 mAh (China)
Berwayar 66W
Nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanBermula RMB 12,999 (RM8,418)

REKAAN DAN SKRIN

Kalau diikutkan, Mate X3 merupakan peranti skrin boleh lipat keenam yang dikeluarkan oleh Huawei sejak tahun 2019. Perubahan paling besar pada kali ini adalah rekaan peranti yang amat berbeza dengan generasi terdahulu. Dapat dilihat dengan jelas elemen yang digunakan keseluruhannya menyerupai sebuah Samsung Galaxy Z Fold dengan skrin lipat pada bahagian dalam bersama sebuah skrin sekunder di luar. Ini bermakna tiada lagi skrin melipat ke belakang yang pernah kami katakan mudah terdedah kepada kerosakan jika diletakkan terus pada permukaan meja.

Sementara itu bahagian sisi tebal yang sebelum ini berfungsi sebagai camera grip pula digantikan dengan bonggol kamera yang agak besar dan tebal. Ia diletakkan di bahagian tengah bagi membuatkannya nampak simetri.

Panel belakang agak kasar dengan kemasan serba hitam berkilau seperti unit diterima kami. Ia bagaimanapun agak licin sewaktu dipegang justeru kerangka khusus diperlukan untuk lebih pelindungan. Ini berbeza pula dengan Mate X3 dengan kemasan hijau zamrud yang menggunakan panel belakang sejenis kulit. Ia mengingatkan kami pada panel belakang salah satu peranti Huawei Mate50 Pro yang juga dilengkapi bahan yang sama. Hal ini bukan sahaja mampu memberi tahap cengkaman yang baik malahan turut mengelakkan isu kotoran cap jari mudah melekat.

Engsel pelbagai dimensi generasi baharu yang digunakan membuatkan peranti senang dibuka tanpa bunyi yang aneh walaupun mungkin menimbulkan persoalan mengenai ketahanannya dari masa ke semasa. Ia bagaimanapun lebih fleksibel dan membolehkan panel peran dibuka lebih luas dan rata.

Pada kedudukan terbuka skrin 7.85-inci yang digunakan pada peranti adalah sama dengan pendahulunya Mate Xs 2 tetapi lebih besar berbanding Galaxy Z Fold 4. Hal yang sama turut berlaku pda skrin sekunder 6.4-inci yang digunakan pada peranti ini sekaligus menjadikannya mempunyai banyak kegunaan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Skrin disertakan sepenuhnya daripada OLED yang menyokong resolusi maksimum dengan resolusi 2496 X 2224 piksel dan kadar segar semula 120Hz.

Ianya cantik dan sedap mata memandang, malahan kandungan resolusi tinggi yang nampak hidup dan menawan turut boleh dinikmati. Pengalaman ini bertambah baik apabila skrin juga mempunyai kemapuan memaparkan paparan sehingga 1.07 billion warna yang juga dibantu teknologi Huawei X-True bagi memastikan skrin sentiasa jelas dengan warna yang tepat.

Kemudian skrin pula sejenis berlubang di tengah pada skrin sekunder dengan pelindungan kaca kunlun bagi melindungi daripada pecah dan calar. Huawei juga menjanjikan ketahanan sehingga sepuluh kali lebih baik daripada sebelumnya. Sementara itu kamera swafoto pada skrin utama pula diletakkan di bucu atas sebelah kanan bersama kaca khusus daripada komposit.

Ia bukan sahaja mampu mengurangkan kesan lipatan ketara. Malahan paparan utama ini dikatakan empat kali lebih tahan hentaman berbanding generasi terdahulu. Ini dipadankan lagi dengan bezel yang nipis pada kedua-dua belah skrin untuk pengalaman tontonan lebih menyeronokkan.

Kami berpendapat perubahan konsep pada kali ini amat memudahkan penyesuaian diri menggunakan telefon pintar ini. Ia tidak kompleks seperti sebelumnya malahan mampu memberi pengalaman penggunaan yang menyeronokkan. Tubuh yang tegap menjadikannya sedap di dalam tangan sewaktu digunakan. Ia bukan sahaja mudah dipegang kerana cukup lebar bersama sisi yang membulat, malahan lebih ringan (239g) dan nipis (5.3mm).

Selain itu peranti juga amat selesa digunakan untuk menaip dan membaca laman web tanpa perlu skrin dibuka sepenuhnya. Kami turut menyedari tiadanya jurang ditemui di antara kedua-dua skrin yang membolehkan peranti tertutup dengan rapat. Kesan lipatan skrin juga tidak kelihatan begitu nyata melainkan ia dilihat dengan teliti daripada sebelah sisi.

Butang kuasa dan laras suara diletakkan pada sisi kanan peranti. Kedua-duanya diperbuat daripada logam yang kukuh. Pengimbas cap jari fizikal juga digunakan yang terbina pada butang kuasa dengan kedudukan yang amat mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Ia mungkin dianggap kuno tetapi masih sesuai digunakan pada peranti dan mampu mengimbas cap jari dengan pantas berbanding biasa.

Sisi kiri pula menempatkan slot SIM tanpa sokongan mikro SD. Sementara itu peranti juga memuatkan dua kekisi audio stereo pada bahagian atas dan bawah. Ianya cukup besar dengan sokongan audio HUAWEI Histen untuk pengalaman lebih imersif. Pakej menjadi semakin menarik apabila peranti akhirnya diberikan kemampuan kalis air IPX8 yang masih jarang berlaku pada sesebuah peranti boleh lipat. Ini bermaksud peranti Samsung kini mempunyai pesaing yang perlu diberi perhatian. Terdapat juga mod tangan basah ditawarkan bersama yang membolehkan peranti mampu mengenali input sentuhan tanpa masalah meskipun digunakan sewaktu jari sedang basah.


PERKAKASAN DAN PERISIAN

Seterusnya peranti dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G yang dipadankan dengan dengan memori sebesar 12GB RAM dan storan sehingga 512GB. Ini merupakan penambahbaikan berbanding Mate Xs 2 sebelum ini yang menawarkan memori 8GB RAM. Namun tiada sokongan 5G diberikan peranti ternyata menjadi kekurangan besar pada peranti. Cip yang digunakan juga mungkin sudah satu generasi ke belakang namun masih lagi cukup berkuasa setakat ini. Dalam masa sama ia juga merupakan cip yang sama digunakan pada Galaxy Z Fold4 dan Honor Magic Vs.

Pada unit awal yang diterima, ia bukanlah perisian akhir menurut jurucakap Huawei Malaysia. Maka oleh itu kami tidak boleh memberikan kata putus sama ada penggunaannya pada Mate X3 versi akhir kelak adalah baik ataupun tidak. Kemudian Mate X3 telah diumumkan dengan HarmonyOS 3.1 pada versi di China. Namun semakan menerusi laman web rasmi Huawei pelancar EMUI terkini masih digunakan pada versi global sama seperti yang berlaku pada Mate Xs 2 pada tahun lalu.

Huawei turut memberi tumpuan yang lebih banyak pada perisian tahun ini dengan sokongan lebih banyak fungsi menarik seperti Video Calling/ Shooting in Flex-Stop Mode yang membolehkan peranti diletakkan secara bebas tanpa pegang sewaktu membuat panggilan video atau menangkap gambar. Ia juga membenarkan beberapa tetapan dibuat dalam skrin yang sama. Tidak ketinggalan ciri Always On Display juga kini terbina pada ciri Flex Mode ini bertujuan pelbagai notifikasi penting seperti cuaca, masa dan banyak lagi diakses dengan mudah.

Seterusnya ciri Horizontal/Vertical Split Screen pula membolehkan dua aplikasi berbeza dilancarkan dilancarkan serentak. Pengguna turut diberi pilihan sama ada mahu memaparkan kedua-duanya secara atas/bawah atau bersebelahan dengan mudah. Sebagai tambahan lagi, ia turut boleh disesuaikan (Customised Screen Combo) yang membolehkan aplikasi kegemaran dipaparkan sebagai notis untuk sementara.


KAMERA

Pada bahagian belakang terdapat bonggol besar berbentuk bulat yang meletakkan tiga kamera 50MP sudut lebar XMAGE dengan apertur F1.8, 13MP ultra sudut lebar f/2.0 dan 12MP telefoto f/3.5 yang menyokong zum optikal sehingga 5X dan zum digital sehingga 50X. Mekanisme periskop digunakan bersama dengan sistem penstabilan OIS. Kamera Periscope jarang ditemui pada telefon boleh lipat, jadi kami gembira dapat melihatnya pada peranti ini. Seterusnya kamera swafoto 8MP juga digunakan pada kedua-dua belah skrin luar dan dalam.

Antara muka aplikasi kamera telah direka semula. Terdapat pelbagi mod kamera terbina yang disediakan menerusi aplikasi kamera seperti Night, Super Macro, Macro, High-res, Time-Lapse, Aperture, Dual-View Video, Portrait, Pro, Monochrome dan sebagainya. Tiga gaya XMAGE yang terdiri dengan normal, vivid dan bright turut disertakan bagi penghasilan semula warna lebih menarik. Kemudian kamera juga membenarkan rakaman sehingga 4K pada kedua-dua belah kamera. Berikut beberapa keping gambar yang sempat kami ambil untuk melakukan ujian awal pada hari ini :


BATERI

Bateri 4,800mAh adalah lebih besar berbanding 4,600mAh yang digunakan pada Mate Xs 2. Ia menarik kerana peranti mampu menawarkan kapasiti bateri lebih baik dalam sebuah tubuh peranti yang nipis. Bukan itu sahaja sistem pengecasan pada peranti juga lebih pantas dengan kuasa output 66W yang juga menyokong pengecasan nirwayar 55W.


KESIMPULAN

Pengalaman kami dengan Huawei Mate X3 adalah terlalu pendek untuk memberikan kata putus sama ada penggunaannya adalah baik ataupun tidak. Tambahan pula perisian pada unit yang diberi masih masih belum dioptimasikan sepenuhnya memberi kekangan lain untuk menentu dengan lebih lanjut. Bagaimanapun beberapa petanda positif bahawa Mate X3 tidak mengecewakan dari aspek reka bentuk boleh dilihat dengan jelas di sini.

Dengan rekaannya yang kini lebih seksi, ringan dan nipis telah memberi nilai tambah buat peranti itu sendiri. Bukan itu sahaja peningkatan menarik diberikan juga menunjukkan Huawei semakin matang dalam peranti segmen begini, misalnya seperti penarafan kalis air yang amat diperlukan.

Setakat sebelum ini hanya Samsung yang berani meletakkan ciri ini pada peranti keluarannya, kini Huawei juga mengikuti sama. Pihak Huawei mengatakan peranti ini bakal ditawarkan di Malaysia kelak tetapi masih belum ada tarikh rasmi yang dinyatakan. Harga jualan juga masih kekal rahsia namun ia besar kemungkinan tidak jauh berbeza dengan pendahulunya Mate Xs 2.


Pro

  • Rekaan amat nipis bagi sebuah telefon skrin boleh-lipat.
  • Skrin 120Hz yang lancar.
  • Cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori sehingga 12GB RAM.
  • Prestasi kamera memuaskan.
  • Sistem pengecasan pantas bewayar 66W dan nirwayar 55W.
  • Piawaian kalis air IPX8.

Kontra

  • Masih terdapat kesan lipatan pada skrin.
  • Ciri perisian belum cukup lengkap pada waktu ini.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd