Kita di bulan April 2023 dan setakat ini terdapat dua peranti kelas pertengahan yang kami rasakan amat memuaskan iaitu Vivo V27 dan Redmi Note 12 Pro+. Tetapi selepas menggunakan iQOO Z7s selama hampir seminggu, kami rasakan ia berpotensi menjadi peranti kelas pertengahan paling berbaloi setakat ini. Mengapa kami katakan begitu? Baca ulasan penuh iQOO Z7 di bawah.
SPESIFIKASI
iQOO Z7 | |
---|---|
Skrin | 6.64″ IPS LCD, 1080 x 2388 , 120Hz, HDR10 |
Pemproses | Snapdragon 782G (6nm) |
Cip | 1 X 2.7 GHz Cortex-A78 3 X 2.4 GHz Cortex-A78 4 X 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 642L |
RAM | 8/12 GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama | 64MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Swafoto | 16 MP f/2.5 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 120W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi |
Harga Jualan | RM 1299 (8/128GB) RM 1499 (12/256GB) |
SKRIN
Skrin 6.64″ FHD+ ialah dari keluarga IPS LCD tetapi menyokong kadar segar semula 120Hz yang tinggi. Sedikit mengejutkan ia juga hadir dengan piawaian HDR10. Tatalan nampak lancar dan tiada isu tersekat-sekar. Pengesanan jari pada skrin juga amat memuaskan. Bezel adalah sederhana tebal lebih-lebih lagi pad bahagian atas dagu. Skrin adalah dari jenis rata yang cukup kami suka kerana kandungan tidak melimpah ke bahagian sisi skrin.

Bahagian dagu adalah yang paling tebal mengingatkan kami kepada peranti dari 3-4 tahun tahun yang lalu. Skrin cukup terang tetapi seperti biasa skrin LCD tidak mempunyai paparan warna yang lebih hidup seperti skrin OLED. isu biasa seperti sukar dilihat di bawah sinaran matahari yang terang juga menghantui skrin Z7. Kadar segar semula skrin juga tidak dinamik membuatkan kami sedikit risau mengenai tahap ketahanan bateri harian.
PENGIMBAS CAP JARI
Kerana penggunaan skrin IPS LCD, pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan terbina pada butang kuasa. Butang kuasa terkeluar dari tubuh tanpa alur untuk memudahkan pengimbas dikesan. Proses menyahkunci adalah pantas pada Z7 cuma kadang kala tidak konsisten. Lebih-lebih lagi jika suhu sejuk. Pengimbasan akan tergendala sehingga memaksa kami memasukkan kod laluan.

REKAAN
Rekaan adalah biasa-biasa sahaja dengan bingkai mengelilingi tubuh peranti. Butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Sementara itu di atas diletakkan pula bicu audio 3.5m. Di bahagian bawah pula terdapat satu kekisi speaker, port pengecasan USB-C dan talam SIM. Talam menyokong dua SIM bersaiz nano dengan ia adalah dari jenis yang perlu dicucuk untuk dikeluarkan daripada tubuh peranti.

Panel belakang pada unit Tropical Blue yang kami ulasan, ia mempunyai warna cerun. Ia diperbuat daripada bahan polikarbonat yang mempunyai tekstur yang agak kasar. Masih selesa di dalam genggaman tangan tetapi tidak licin atau memerangkap kotoran. iQOO memberikan sebuah kerangka silikon lutsinar yang memastikan panel belakang ini tidak akan kotor.

Di bahagian belakang ini juga terdapat bonggol kamera yang sederhana besar. Ia besar tetapi tidak tinggi. Berita baik kerana ia membuatkan peranti masih senang diletakkan di atas meja. Kaca besar berbentuk empat segi mendominasi bonggol kamera ini.
Tubuh peranti adalah agak besar tetapi masih selesa digunakan sebelah tangan. Kekurangan yang ada ialah tiadanya sokongan kad mikro SD dan tiada sebarang piawaian kalis air seperti Samsung Galaxy A54. Ini mungkin dilakukan oleh iQOO untuk mengurangkan kos peranti. Namun begitu ketiadaan slot kad mikro SD adalah mengecewakan kerana Z7 hanya ditawarkan dengan storan 128GB dan 256GB. Saiz storan ini tidak begitu besar jika pemilik ingin menggunakan peranti lebih daripada tiga tahun.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi Funtouch OS 13 digunakan dengan ia berasaskan Android 13. Dengan penggunaan sistem operasi terkini, banyak ciri terkini Android 13 boleh digunakan. Contohnya ialah seperti ciri tema peranti berubah mengikut latar belakang skrin yang digunakan. Sepanjang tempoh ulasan sekitar seminggu, kami tidak mempunyai sebarang isu yang serius dengan penggunaan peranti. Cip Snapdragon 782G memang cukup berkuasa dan dibantu oleh memori sebesar 12GB RAM pada unit ulasan yang kami gunakan ini.

Hanya kadang kala kami menyedari animasi sedikit terganggu. Dengan 12GB RAM, banyak aplikasi dapat dilancarkan serentak pada peranti ini. Jika memori ini masih dirasakan tidak mencukupi, ciri Extended RAM menambah sehingga 8GB lagi RAM. Anda boleh mematikan ciri ini jika tidak diperlukan. Tidak seperti pada peranti Xiaomi dan Samung, Extended RAM hanya boleh diaktifkan dengan 8GB RAM tanpa sebarang kemampuan untuk mengubah saiznya secara manual oleh pemilik.

Tiada isu untuk memasang majoriti aplikasi seperti YouTube, Facebook, Instagram, Prime Video dan TikTok. Aneh sekali Netflix sahaja yang tidak boleh dimuat turun menerusi Play Store mungkin kerana cip yang baharu digunakan. Pelancaran aplikasi pula pantas kerana dari jenis UFS. Pengalaman penggunaan Funtouch OS amat mirip Android asli maka tidak ada begitu banyak ciri tambahan disertakan. Sedikit asas tetapi pelancar ini tidak terasa berat untuk digunakan.

Berikut adalah beberapa ciri menarik yang disertakan oleh iQOO Z7.
- Kadar segar semula skrin boleh ubah – Mengubah kadar segar semula skrin ke 60Hz, 90Hz, 120Hz atau dinamik mengikut keperluan aplikasi.
- Mini Screen Mode – Skrin dikecilkan untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan.
- Extended RAM – Memori maya sebesar 8GB boleh ditambah dengan mengambil ruang storan.
- App hiding – Menyorokkan aplikasi daripada dipaparkan dalam peranti.
- Ultra Game Mode – Mod khas untuk gaming dengan pelbagai ciri mengurangkan gangguan ketika sesi permua.
- Simple Mode – Antaramuka lebih mudah untuk kegunaan kanak-kanak dan warga emas.
PENANDA ARAS
Apakah prestasi Snapdragon 782G membanggakan? Jawapannya ialah ya. Dalam ujian penanda aras utama 3D Mark, Geekbench 6 dan 3D Mark ialah mencatatkan markah yang lebih tinggi berbanding Exynos 1380 (Samsung Galaxy A54), Dimensity 1080 (Redmi Note 12 Pro+), dan Snapdragon 778G (Poco X5 Pro 5G).

Geekbench 6
- iQOO Z7 – 1125/3001
- Redmi Note 12 Pro+ 5G – 960 / 2288
- Samsung Galaxy A54 5G – 755/2663
- Poco X5 Pro 5G – 781 / 2892
Antutu 3D
- iQOO Z7 – 588,831
- Redmi Note 12 Pro+ 5G – 463,849
- Samsung Galaxy A54 5G – 502,442
- Poco X5 Pro 5G – 529,942
3D Mark Wild Life Extreme
- iQOO Z7 – 808
- Redmi Note 12 Pro+ 5G – Tiada
- Samsung Galaxy A54 5G – 798
- Poco X5 Pro 5G – Tiada

Permua popular seperti Free Fire, PUBG Mobile dan COD Mobile boleh dijalankan pada tetapan grafik tertinggi dan kadar bingkai yang tinggi. Hampir selancar cip mercu Snapdragon 8 Gen 1. Hanya pelancaran sahaja terasa sedikit perlahan berbanding peranti kelas mercu S23 Ultra kerana storan bukan dari jenis UFS 4.0 yang jauh lebih pantas. Secara keseluruhan tiada rungutan besar mengenai prestasi Z7 dengan Snapdragon 782G. Mantap dan berkuasa cuma peranti terasa sedikit suam selepa sesi permainan yang sedikit panjang. Jika prestasi yang dicari, Z7 tidak mengecewakan.
TELEFONI Dan GPS
Rangkaian 5G LTE boleh dinikmati pada iQOO Z7. Panggilan telefon menerusi ciri VoLTE dan VoWiFi juga turut boleh dilakukan dan jika syarikat telekomunikasi anda menyokongnya. Panggilan suara yang dilakukan adalah jelas dengan tiada isu ia terputus-putus. Sebagai sebuah telefon pintar, Z7 beroperasi dengan cukup baik. Prestasi GPS juga memuaskan dengan lokasi dapat dikesan dengan pantas serta tidak hilang dengan mudah walaupun ketika bergerak di antara bangunan-bangunan yang tinggi di Kuala Lumpur.
KAMERA
Kamera utama sekadar lensa sudut lebar 64MP yang dipadankan dengan lensa kedalaman 2MP. Konfigurasi kamera yang sangat asas tetapi sekurang-kurangnya lensa sudut lebar mempunyai OIS. Terasa sedikit aneh tiada sokongan lensa ultra sudut lebar yang menjadi standard pada peranti kelas pertengahan. Seperti biasa aplikasi kamera mudah difahami dengan terdapat mod malam, mod potret, panorama dan Super Moon.
Kualiti gambar menggunakan kamera utama adalah tidak mengecewakan. Jelas, tajam, terang dan penghasilan semula warna yang agak tepat cuma sedikit lebih panas berbanding situasi sebenar. Tiada isu hingar atau kamera terasa perlahan. Jika sistem AI diaktifkan, setiap gambar mengambil masa beberapa saat untuk dipascaproses.
Gambar mod potret sahaja kami rasakan kurang mantap kerana nampak palsu bahagian kabur di latar belakang. Pemisahan objek dengan latar belakang juga tidak 100% tepat. Akhir sekali mod malam juga baik. Imej masih nampak tajam, terang dan tidak kabur. Inilah kelebihan kamera utama dengan OIS. Mod malam yang diambil akan kelihatan memuaskan.





Di bawah pula adalah sampel zum pada tetapan 1x, 2x, 5x dan 10x. Dengan OIS gambar yang diambil masih tajam walaupun diambil tanpa menggunakan tripod. Kualiti zum hanya memuaskan sehingga 5x sahaja. Ini kekurangan sistem zum digital pada Z7. Tetapi bagi situasi lain yang tidak memerlukan zum yang tinggi, kami rasakan kamera Z7 adalah setanding kamera peranti lain dalam kelas yang sama.




BATERI
Hayat bateri adalah amat baik dengan SOT 8-9 jam boleh dicapai secara konsisten setiap hari. Di akhir hari sebelum tidur masih tinggal sekitar 20-30% bateri jika peranti digunakan secara sederhana. Secara lazimnya prestasi bateri akan menjunam sehingga 30% pada penggunaan yang lebih berat. Jika bateri habis sekalipun tidak perlu risau kerana pengecasan 120W boleh mengecas semula bateri 5000 mAh dalam masa 40 minit sahaja.
AUDIO
Speaker stereo yang digunakan adalah lantang dan jelas. Agak menakjubkan sebuah speaker stereo disertakan kerana pada harga jualan ini, biasanya hanya speaker mono diberikan. Tambah menarik ialah bicu audio juga boleh digunakan. Kami katakan tadi speaker adalah lantang tetapi pada tetapan paling tinggi ia mula kedengaran sedikit pecah.

Tahap kelantangan adalah baik dengan ia cukup lantang apabila diperlukan tetapi tidak merosakkan gegendang telinga jika diletakkan pada tahap paling tinggi. Tiada sebarang sistem audio khas seperti Dolby Atmos tetapi ini adalah perkara biasa untuk peranti yang mampu milik.
PESAING
iQOO Z7 | Vivo V27 | Redmi Note 12 Pro+ |
6.64″ IPS LCD, 120Hz FHD+, HDR10+ | 6.78″ AMOLED, 120Hz FHD+, HDR10+ | 6.67″ AMOLED, 120Hz FHD+, Dolby Vision |
Snapdragon 782G (6nm) 1 X 2.7 GHz Cortex A78 3 X 2.4 GHz Cortex A55 4 X 1.8 GHz Cortex A55 | Dimensity 7200 (4nm) 2 X 2.6 GHz Cortex A78 6 X 2.0 GHz Cortex A55 | Dimensity 1080 (6nm) 2 X 2.8 GHz Cortex A715 6 X ? GHz Cortex A510 |
Adreno 642L | Mali-G610 MC4 | Mali-G68 MC4 |
8/12GB LPDDR4X | 8/12 GB LPDRR5 | 8GB LPDRR4X |
128/256 GB UFS 2.2 | 256 GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Makro) 4K 30p | Kamera Utama 50MP, f/1.9 (Sudut Lebar), OIS 8MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 4K 30p | Kamera Utama 200MP f/1.7, (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar) 2MP f/2.2 (Makro) 4K 30p |
Kamera Hadapan 16MP f/2.5 | Kamera Hadapan 50MP f/2.5 | Kamera Hadapan 16MP f/2.5 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Mono | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 120W) | 4600 mAh (Berwayar 66W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 1299 (8/128GB) RM 1499 (12/256GB) | RM 1799 (8/256 GB) RM 1999 (12/256 GB) | RM 1599 (8/256GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x iQOO Z7.
- 1x Pengecas 120W
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
iQOO Z7 ialah raja peranti kelas pertengahan kerana mempunyai pemproses yang berkuasa, saiz RAM yang cukup besar, kamera yang memuaskan dan bateri tahan lama dengan pengecasan yang amat pantas. Pada harga jualan bermula RM1299, ia adalah sangat mampu milik untuk spesifikasi yang amat baik dalam kelasnya.

Kekurangan hanyalah tiada sokongan kad mikro SD, kamera tidak mempunyai lensa tambahan dan bezel skrin yang agak besar berbanding pesaing. Tetapi kami merasakan bagi kebanyakan pengguna kelebihan iQOO Z7 adalah lebih banyak berbanding kekurangan yang menjadikannya antara peranti saranan kami untuk tahun 2023.
Pro
- Skrin 120Hz membuatkan penggunaan nampak lancar.
- Rekaan selesa dalam tangan
- Prestasi pemproses yang cukup baik.
- Speaker stereo dan bicu audio.
- Bateri tahan lama dengan pengecasan 120W pantas.
Kontra
- Skrin masih sekadar LCD.
- Tiada sokongan slot kad mikro SD
- Bezel skrin tebal tidak simetri.
- Tiada kamera sudut ultra lebar.
