Carian
Pandang Pertama Huawei P60 Pro – Kamera Setanding Era Leica
April 11, 2023 Amy Maizuraa

Huawei mempunyai dua jenis peranti berkelas mercu iaitu siri Mate yang memfokuskan terhadap inovasi yang ditambah baik dari masa kesemasa. Sementara itu siri P pula sering menggabungkan fesyen yang diaplikasikan dengan teknologi terkini khususnya pada rekaannya. Hal ini boleh dilihat dengan jelas menerusi Huawei P60 Pro yang menjadi salah satu penawaran baharu pada tahun ini. Mengapa kami berkata sedemikian?

Kali ini peranti berbeza dan unik berbanding generasi lain kerana kemasannya yang boleh dikatakan sarat dengan nilai estetika. Malah peranti ini akan mudah dikenali melalui corak seakan batu marmar yang ditampilkan dengan warna serba putih keemasan, juga dikenali sebagai Recoco Pearl. Menurut Huawei, ia menerima sentuhan menarik dengan gabungan berkonsepkan elegan dan romantik. Kami juga telah diberi akses awal menggunakannya sebelum dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Inilah pandang pertama Amanz untuk peranti mercu terkini daripada pengeluar telefon pintar yang terkenal dengan tagline Make It Possible ini.


SPESIFIKASI

Huawei P60 Pro
Skrin6.67″ LTPO OLED, 120Hz
1220 x 2700 pixels (~444 ppi)
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 4G (4 nm)
Cip1 x 3.19 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalamansehingga 512 UFS 3.1
Kamera Utama48 MP, f/1.4-f/4.0, (lebar), PDAF, OIS
48 MP, f/2.1, (telefoto), OIS, zum optikal 3.5x
13 MP, f/2.2 (ultra-lebar)
Kamera Swafoto13MP f/2.4
Bateri4815mAh
Berwayar 88W
Nirwayar 50W
Berbalik 7.5W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Imbasan Wajah
Harga JualanBermula RMB6,988 (~RM4,519)

REKAAN DAN SKRIN

Kalau diikutkan terdapat dua variasi peranti yang diperkenalkan pada siri baharu Huawei P60. Namun artikel pandang pertama ini lebih memfokuskan terhadap variasi pro yang lebih premium dalam pelbagai aspek. Kalau perasan rekaan peranti di bawah siri ini adalah berbeza setiap tahun dengan beberapa elemen yang dikemaskini. Pada tahun ini Huawei mengambil keputusan untuk kembali menggunakan kamera belakang berbentuk empat segi. Namun ia dihasilkan khas untuk menonjolkan nilai estetik pada peranti. Ini bermakna dua bonggol kamera sebelum ini tidak lagi digunakan dan diganti dengan satu yang bersaiz sederhana besar.

Tri-kamera yang digunakan mempunyai reka bentuk berbeza di antara satu sama lain. Boleh dilihat dengan jelas satu lensa utama yang besar mendominasi bonggol ini. Ia merupakan lensa 48MP sebagai sensor utama pada peranti. Kemudian dua lagi lensa diletakkan di atas dan bawah menjadikan peranti nampak seimbang. Lensa di atas adalah 13MP bagi tujuan ultra-lebar, sementara itu lensa di bawah pula sebesar 40MP yang sangat jelas dipadankan dengan sistem zum telefoto periskop. Kamera swafoto 13MP disertakan bagi melengkapkan sistem kamera pada peranti ini. Peranti tahun ini juga menyokong sistem XMAGE yang terkenal mampu menghasilkan gambar berkualiti seumpama Huawei Mate50 sebelum ini. Pendapat awal kami dalam tempoh percubaan yang singkat boleh dikatakan prestasi kamera adalah baik seperti era Leica dahulu.

Meskipun mungkin kelihatan pelik bagi sesetengah orang tetapi ia tetap unik pada pandangan kami. Cuma penjagaan rapi diperlukan bagi memastikan sensor besar pada peranti tidak tercalar.

Pada pandangan kami sendiri Huawei P60 Pro Rococo Pearl antara peranti menarik setakat ini kerana ia menampilkan rekaan dengan kelas tersendiri. Melihat sahaja sudah cukup membuatkan mata tidak berpaling, malah turut mampu mencipta elemen mewah serta bergaya. Panel belakang adalah sejenis kasar dengan material agak kasar yang bantu mengurangkan kotoran terkumpul dengan mudah.

Meskipun begitu, peranti ini sebenarnya masih agak licin bila dipegang. Justeru, kami berterima kasih kepada Huawei kerana turut memberikan kerangka silikon yang agak kasar permukaannya. Ia bukan sahaja mampu melindungi bahkan mengurangkan juga insiden peranti terlalu mudah tergelincir. Tiada wang tambahan diperlukan sebaliknya kerangka ini diberikan percuma di dalam kotak pembelian.

Apabila bercakap soal cantik pasti lain orang lain pula pendapatnya kerana ianya sangat subjektif. Justeru sebagai pilihan, terdapat juga Huawei P60 Pro dengan pilihan warna gelap dikenali sebagai Black. Ini bagi menampakkan peranti lebih minimalis dan tidak terlalu menonjol. Kemasan yang agak kasar dan berkilat yang digunakan dianggap sebagai kombinasi mantap bagi menghasilkan peranti yang menarik.

Bagi menambah rasa premium, peranti juga dilengkapi bingkai logam yang keras bersama sisi dibulatkan. Ia juga besar yang amat baik bagi melindungi permukaan kaca skrin dari hentakan. Pada waktu yang sama rekaan skrin berlubang dan melengkung pada kedua-dua sisi turut dikekalkan. Dengan rekaan ini peranti kelihatan lebih simetri dari hadapan, dalam masa sama ruang yang lebih besar boleh digunakan bagi mempamerkan notifikasi diterima. Sebagai tambahan, peranti juga dilengkapi kaca kunlun yang sama keras dengan Huawei Mate50 sebelum ini.

Pengalaman bertambah baik dengan skrin 6.67-inci LTPO OLED beresolusi mencapai FHD+ dengan kebolehan memaparkan warna yang hidup, bermaya dan terang. Pengguna yang lebih mementingkan hayat bateri pula boleh menyahaktifkan skrin 120Hz, kemudian memilih sama ada fungsi Dynamic yang boleh menetapkan kadar segar semula skrin secara automatik mengikut jenis kandungan.

Sokongan pemancar infra merah untuk kawalan jauh turut dikekalkan pada peranti tahun ini yang boleh ditemui di bahagian atas. Ia kemudiannya disertakan pula dengan lubang mikrofon kedua dan pembesar suara stereo. Satu lagi pembesar suara terletak di bahagian bawah bersama-sama dengan port USB-C dan talam SIM Nano yang juga menyokong satu NM Card sebesar 256GB untuk storan tambahan.

Keseluruhan tubuh juga melepasi piawaian IP68 maka tiada kerisauan ia rosak jika anda terperangkap dalam hujan lebat atau tertumpah air.


PERKAKASAN DAN PERISIAN

Namun begitu dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G kelemahan Huawei P60 Pro mula kelihatan. Kita sering melihat bahawa kebanyakan peranti mercu pada tahun ini dikuasakan dengan cip pemprosesan terkini misalnya seperti Snapdragon 8 Gen 2. Tetapi Huawei mengambil keputusan untuk kekal dengan cip sama yang juga pernah digunakan pada Mate50 Pro. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa peranti tidak mampu berfungsi dengan baik, malahan cip Snapdragon 8+ Gen 1 juga masih lagi cukup berkuasa ketika ini.

Memori 8GB RAM dan storan 512GB diberikan dengan kebolehan yang boleh ditambah menggunakan kad NM sehingga 256GB. Bagaimanapun, tiada sebarang sistem penambahan memori secara maya ditemui pada peranti. Peranti berfungsi seperti biasa tanpa isu yang serius sehingga ke hari ini. Kami menggunakannya untuk sebilangan besar tugasan harian seperti mengambil gambar, membalas mesej dan menonton video. Ia bagaimanapun akan terus diuji dari masa ke semasa bagi melihat prestasi lebih mendalam yang akan kami kongsikan dalam artikel ulasan akan datang.

Peranti Huawei P60 Pro di tangan kami menggunakan EMUI 13.1 yang merupakan versi terkini sistem operasi kendiri Huawei. Boleh dikatakan agak sukar untuk kami temui perubahan yang besar pada antaramuka baharu ini. Ia masih kelihatan menarik dengan ikon yang ceria dan Huawei juga membenarkan kebebasan mengubahnya mengikut keperluan.

Terdapat juga Smart Personalised Interaction yang membolehkan maklumat diakses secara pantas dengan hanya meleret pada peranti. Seterusnya SuperHub pula memudahkan proses berkongsi fail berbeza format yang kemudiannya dimasukkan ke dalam emel – misalnya secara drag & drop. Widget juga boleh disusun serta diubah saiznya, selanjutnya SuperDevice pula memudahkan kawalan terhadap kesemua peranti yang menyokong ekosistem Huawei.


KAMERA DAN KUALITI GAMBAR

Huawei sememangnya tidak pernah mengecewakan soal prestasi kamera pada peranti mercunya. Siri Huawei P juga sentiasa cemerlang dalam hal fotografi dan Huawei P60 Pro turut melakukan hal yang sama. Sistem tri-kamera digunakan pada tahun ini terdiri dengan kamera Super Ultrasensing 48-Megapixel sebagai sensor utama.

Ia juga menggunakan sensor RYYB seperti sebelum ini namun menerima peningkatan sensitiviti terhadap cahaya lebih baik. Sistem warna ini juga membolehkan sensor menerima lebih banyak cahaya berbanding sensor RGGB, seterusnya meningkatkan prestasi fotografi pencahayaan rendah dan waktu malam. Di samping itu, peranti juga dilengkapi sistem XMAGE dengan apertur boleh berubah di antara f/4.0 dan hingga ke f/1.4 bersama OIS.

Seterusnya sensor kedua 13-Megapixel MP f/2.2 adalah untuk sudut ultra lebar. Akhir sekali, sensor 48-Megapixel pula dipadankan dengan mekanisme periskop yang memberikan kemampuan zum optikal sehingga 10X dan digital 100X. Sistem kamera ini juga dikuasakan dengan pemprosesan Huawei XD Fusion Pro serba baharu yang bantu meningkat kualiti dan butiran pada imej. Menariknya, kebolehan makro turut boleh digunakan pada lensa periskop yang membolehkan gambar makro diambil daripada jauh.

Pada bahagian hadapan pula kamera sebesar 13MP f/2.4 digunakan dan diletakkan di dalam sebuah lubang pada kamera. Seperti peranti Huawei yang lain, gambar statik boleh diambil pada nisbah 4:3, 1:1 dan skrin penuh. Dari segi fungsi pula, peranti menawarkan mod kamera yang pelbagai guna seperti Aperature, Night, Potrait, Photo, Video, Pro dan More.

Kamera juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya yang baik. Seterusnya, tiada kebolehan rakaman 8K diberikan pada peranti, sebaliknya format disokong hanya 4K/60fps dengan penstabilan terbina. Namun begitu, kamera membenarkan rakaman dengan skrin bernisbah 16:9 dibuat pada resolusi 4K yang dianggap memberi nilai tambah pada peranti berbanding tangkapan gambar statik.


BATERI

Huawei bukan sahaja menaik taraf kapasiti bateri, malahan memberi lebih pilihan pengecasan yang boleh dimanfaat oleh pengguna. Bateri sebesar 4815mAh adalah lebih besar berbanding 4,360mAh pada Huawei P50 Pro sebelum ini. Peningkatan juga diberikan kepada sistem pengecasan berwayar 88W yang kini lebih pantas. Seterusnya turut disertakan sokongan pengecasan nirwayar 50W yang menjadikannya nilai tambahan lain pada peranti itu sendiri.


KESIMPULAN

Pengalaman awal menggunakan Huawei P60 Pro setakat ini adalah memuaskan. Cip yang digunakan mungkin ketinggalan satu generasi, namun masih mampu berfungsi dengan baik. Sistem dan perisian kamera yang dinaik taraf juga menarik. Tiada Leica tidak bermakna tamat segalanya, sebaliknya sistem XMAGE sendiri sudah mampu mengekalkan pendirian kemampuan fotografi Huawei yang cukup dikenali ramai.


PRO

  • Skrin 120Hz adaptif.
  • Sistem kamera yang dipertingkatkan.
  • Bateri dan pengecasan dinaiktaraf.
  • Speaker stereo.

KONTRA

  • Skrin melengkung bukan untuk semua.
  • Tiada GMS.
  • Tiada 5G.
  • Tiada bicu audio.
Komen