Nama siri cip pemprosesan Meteor Lake adalah sesuatu yang sudahpun diketahui umum, tetapi oleh kerana bagaimana Intel kini menjenamakan cip-cip pemprosesan mereka, sebelum ini ia tidak diketahui samada ia akan dijadikan siri cip pemprosesannya sendiri, ataupun sekadar penyegaran semula cip pemprosesan generasi sebelumnya.

Terkini, Intel nampaknya telah mengesahkan melalui dokumen-dokumen bahawa siri cip pemprosesan Meteor Lake akan menjadi siri cip pemprosesan Intel ke-14 mereka, yang sama seperti sebelum ini, akan terdiri daripada siri cip pemprosesan untuk komputer riba dan juga desktop.
Apa yang menarik mengenai cip pemprosesan Meteor Lake ini ialah ia merupakan cip pemprosesan Intel pertama yang dibina menggunakan konsep “Disaggregated Tiles” yang mana binaan-binaan komponen cip perkomputeran, grafik dan I/O adalah menggunakan proses binaan berbeza.

Cip compute Meteor Lake akan dibina oleh Intel menggunakan proses Intel 4 (4nm) mereka, manakala cip grafik akan dibina menggunakan cip Arc Alchemist oleh TSMC menggunakan proses N5 (5nm) manakala platform SoC akan dibina menggunakan proses N6 juga oleh TSMC.
Sebagai contoh, salah satu cip pemprosesan Intel Meteor Lake ini akan hadir dengan 14 teras yang terdiri daripada enam teras prestasi dan lapan teras kecekapan yang dilihat akan mengekalkan prestasi sebelum ini, tetapi dengan penggunaan kuasa yang lebih cekap.

Intel dijangka akan membuat pengumuman ataupun melancarkan cip pemprosesan Meteor Lake ini untuk kelas komputer riba pada pertengahan tahun ini manakala cip pemprosesan untuk desktop pula pada penghujung tahun ini.

Walaupun begitu, bergantung kepada samada Intel akan memperkenalkan kemaskini kepada cip pemprosesan Raptor Lake, siri cip Meteor Lake ini mungkin akan dilancarkan pada tahun depan. Buat masa ini, tiada kata rasmi mengenai pelancaran siri cip terbaru tersebut buat masa ini.
- Sumber
- TechPowerUp