Cari @ Amanz

Kenderaan elektrik (BEV) semakin banyak di jalan raya Malaysia sehingga sudah mula kedengaran pengguna merungut kurangnya stesen pengecasan di kawasan lebuh raya. Pelbagai isu perlu diselesaikan sekiranya kenderaan elektrik ingin menggantikan kenderaan bahan api fosil (ICE) dalam masa terdekat. Di United Kingdom, isu baharu pula dikesan iaitu dengan jumlah BEV meningkat ia mungkin boleh merobohkan bangunan parkir bertingkat.

Dalam laporan The Telegraph, Persatuan Parkir Britain (BPA) mengeluarkan amaran peningkatan jumlah BEV boleh menyebabkan struktur parkir yang sudah agak berusia roboh. Ini adalah kerana BEV adalah jauh lebih berat berbanding kenderaan ICE. Isu lebih serius di UK kerana kebanyakan struktur parkir dibina menggunakan piawaian dekad 50-60an ketika kenderaan adalah jauh lebih ringan.

Secara lazimnya BEV lebih berat kerana pek bateri besar yang digunakan. Di Malaysia misalnya berat BYD Atto 3 mencecah 1750kg sedangkan Honda H-RV dengan enjin petrol hanya seberat 1400kg walaupun ia mempunyai saiz yang sama. Apabila ditambah dengan berat penumpang, ia akan memberikan tekanan kepada struktur parkir yang tidak direka untuk kenderaan elektrik moden.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd