Cari @ Amanz

Kalau mengikut pada perkiraan, sudah masuk kira-kira sepuluh siri peranti yang dilancarkan di bawah siri Huawei Nova. Selain rekaan, sistem pengimejan mudah alih pada peranti turut diberi nafas baharu bagi menjadikannya lebih menarik dari masa ke semasa.

Terbaharu Huawei dalam perancangan hadir dengan generasi baharu di bawah siri berkenaan. Peranti dikenali sebagai siri Huawei Nova 11 dan bakal dilancarkan secara rasminya di China pada 17 April akan datang. Poster pelancaran dimuatnaik turut mendedahkan rekaan panel belakang peranti yang dilihat masih mengekalkan beberapa elemen daripada generasi terdahulu.

Misalnya seperti modul kamera berbentuk pil yang memuatkan sistem tri-kamera utama. Ia juga disusun menegak dengan satu lensa utama yang besar mendominasi bonggol berkenaan. Kemudiannya diikuti pula dengan dua lensa kecil di bahagian atas dan bawah bagi menjadikannya seimbang.

Namun perubahan ketara yang boleh dilihat apabila panel belakang peranti seakan menggunakan bahan berasaskan kulit. Ini dipadankan pula dengan corak bertulis Nova yang menghiasi keseluruhan panel belakang yang bewarna serba hijau. Pun begitu, kita boleh menjangkakan lebih banyak pilihan yang disediakan kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd