Pasti ramai yang inginkan 1 akaun WhatsApp boleh digunakan pada banyak peranti seperti Telegram. WhatsApp telah cuba membawakan ciri ini sejak beberapa bulan lepas. Malah sebelum ini mereka memperkenalkan ciri Peranti Terpaut untuk digunakan pada versi web.
Kelebihan peranti terpaut ini adalah selepas selesai imbas kod QR, peranti utama peranti tidak lagi memerlukan akses Internet atau jika peranti mati pun WhatsApp Web boleh kekal digunakan.

Dalam kemaskini WhatsApp beta versi 2.23.8.2, Meta telah mengembangkan ciri Peranti Terpaut ini untuk digunakan pada peranti Android lain pula. Ini bermakna anda hanya perlukan 1 akaun dan akaun yang sama boleh aktif pada 4 peranti berbeza. Sebelum ini ciri ini diuji pada tablet Android sahaja.
Ini cara menggunakannya;
- Muat turun APK WhatsApp Beta di sini.
- Pilih bahasa dan tekan tetapan tiga titik di atas hujung aplikasi.
- Pilih Pautkan pada akaun sedia ada.
- Imbas kod QR dan tunggu “Memuatkan sembang anda”

Dengan ujian beta ini anda boleh menggunakan WhatsApp pada iPhone sebagai peranti utama. Kemudian gunakan WhatsApp Web atau WhatsApp Desktop sebagai peranti kedua dan anda boleh pautkan akaun WhatsApp anda pada dua peranti Android lain lagi.
Menariknya selepas saya menguji ciri ini, notifikasi diterima serentak. WhatsApp Call baik suara atau video juga berfungsi dengan baik sekali. Tetapan WhatsApp juga boleh digunakan seperti biasa. Cuma anda tidak boleh gunakan ciri ini antara iPhone dan iPad atau iPhone dan iPhone. Jika iPad anda perlu menggunakan Safari untuk versi web. Android dan Android tiada masalah juga. Sandaran sembang jika iOS hanya peranti utama boleh melakukannya.
- Sumber
- WABetaInfo