Cari @ Amanz

Lotus Cars Malaysia, pengedar rasmi kenderaan-kenderaan Lotus di Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa kenderaan SUV (Sports Utility Vehicle) elektrik pertama mereka kini sudah tiba di pasaran tempatan.

Lotus Eletre dipasarkan di Malaysia sebagai sebuah SUV yang boleh dinikmati secara santai. Ia tampil dengan konfigurasi lima tempat duduk, tetapi anda juga boleh memilih untuk mendapatkan pakej Executive yang menukarkan konfigurasi lima tempat duduk ini kepada empat, tetapi memberi penumpang ciri tambahan seperti tempat meletak air dan juga sebuah konsol paparan yang boleh dimanfaatkan untuk mengakses pelbagai ciri seperti pengubahsuaian kedudukan kerusi.

Lotus Eletre hadir dengan tiga pilihan model, iaitu Lotus Eletre, Lotus Eletre S dan Lotus Eletre R. Lotus Eletre dan Eletre S dikuasakan oleh sistem kelajuan tunggal dan menawarkan 603hp dan tork 710Nm dengan prestasi pecutan 0-100km/j dalam masa 4.5 saat dan pecutan 80-120km/j dalam masa 2.2 saat. Kedua-dua varian mampu mencapai kelajuan maksimum 258km/j dan jarak pemanduan maksimum (WLTP) sejauh 600km.

Lotus Eletre R pula hadir dengan sistem dua kelajuan yang menawarkan kuasa 905hp dan tork 985Nm. Ia mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 2.95 saat dan pecutan 80-120km/j dalam masa 1.9 saat dengan pecutan maksimum 265km/j. Lotus Eletre R merupakan SUV elektrik dua motor paling pantas di dunia dengan jarak pemanduan maksimum (WLTP) sejauh 490km.

Ketiga-tiga varian Lotus Eletre ini menggunakan bateri berkapasiti 112kWh dan pengecas 350kW yang hadir dengan ciri pengecasan pantas dari 10 ke 80 peratus dalam masa hanya 20 minit. Pengecasan AC 22kW juga boleh digunakan kenderaan ini sebagai ciri standard.

Semua varian hadir dengan ciri Adaptive Cruise Control (ACC), satu sistem pemantauan pemandu, RearCollision Warning, Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Lane KeepAssist dan Lane Departure Warning/Prevention (LKA+), Blind Spot Detection, Traffic Sign Information (TSI), Front dan Rear Park Assist, Visual Park Assist dan Lotus Intelligent Dynamic Chassis Control.

Apa yang menarik disini ialah Lotus Eletre ini kesemuanya hadir dengan sistem keselamatan ADAS (Advanced Driver Assistance Systems) yang mana Lotus mengatakan ia boleh dikemaskini untuk memasang sistem pemanduan kendiri (self driving system) yang boleh dipasang melalui kemaskini perisian OTA (over the air) di masa hadapan apabila teknologi ini siap dibangunkan.

LCM sudahpun mengesahkan bahawa ketiga-tiga varian SUV Lotus Eletre ini sudahpun tiba di pasaran tempatan, dengan 140 tempahan sudahpun dibuat. Mereka mengatakan lagi hanya 200 kenderaan ini akan diperlihatkan di pasaran tempatan pada tahun ini.

  • Lotus Eletre – Bermula RM578,000
  • Lotus Eletre S – Bermula RM648,000
  • Lotus Eletre R – Bermula RM798,000
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd