Cari @ Amanz

Setelah diacah sekian lamanya, ASUS akhirnya telah memperlihatkan rekaan dan spesifikasi penuh siri peranti pintar gaming paling popular mereka secara rasmi. Kini, ASUS ROG Phone 7 dan ASUS ROG Phone 7 sudahpun dilancarkan secara rasmi.

Dari segi rekaan, ASUS ROG Phone 7 hadir dengan paparan skrin Samsung AMOLED HDR10+ bersaiz 6.78 inci dengan dengan kadar segar semula sepantas 165Hz. Untuk tujuan gaming dan juga tontonan media yang mendalam, peranti ini juga hadir dengan nilai kecerahan setinggi 1500 nit.

Peranti ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, iaitu cip pemprosesan yang paling berkuasa mereka di pasaran sekarang, bersama-sama pilihan memori sehingga 16GB dan juga storan dalaman UFS 4.0 sebanyak 512GB.

Di bahagian belakang peranti ini, ASUS ROG Phone 7 dan ROG Phone 7 Ultimate menggunakan kaca terbaja Gorilla Glass 3, dan untuk bahagian kameranya, peranti-peranti ini kekal menggunakan sensor utama Sony IMX766 50MP, kamera ultralebar 13MP dan kamera makro 8MP. Untuk kamera swafoto pula, ASUS dilihat telah menaiktarafkannya kepada kamera 32MP berbanding 12MP pada model sebelum ini.

Gimik utama peranti mana-mana peranti ASUS ROG Phone ialah butang bahu AirTrigger di bahagian kiri dan kanan peranti ini apabila digunakan secara mendatar. Butang bahu ini boleh digunakan sebagai butang pintasan dan juga sebagai butang bahu untuk memudahkan akses kepada fungsi-fungsi didalam permua.

AirTrigger pada ROG Phone 7 terbaru ini hadir dengan fungsi-fungsi tambahan, iaitu Press & Lift yang membolehkan pengguna mengakses ciri baru apabila menekan butang-butang bahu AirTrigger ini dan menggunakan pergerakan-pergerakan tertentu.

Penghalaan gyroscope juga merupakan sesuatu yang baru diperkenalkan pada peranti ROG Phone 7 ini, dan sekiranya anda membeli model ROG Phone 7 Ultimate, anda akan dapat menguji ciri ini melalui tutorial peranti ini yang cukup menarik sekali.

Perisian Armory Crate juga telah dikemaskini untuk bukan sahaja memudahkan pengguna mengakses pelbagai tetapan peranti ini, tetapi kali ini, hadir dengan pilihan permua yang boleh memanfaatkan pelbagai kadar segar semula pantas peranti ROG Phone 7 ini, dari 120Hz ke 144Hz ke 165Hz.

Sistem penyejukan GameCool 7 untuk peranti ini juga telah memperlihatkan sejumlah perubahan, khususnya dari segi rekaan penyejukan vapor chamber yang digunakan, dimana ia kini mempunyai lebih banyak alur untuk mempercepatkan proses penyejukan komponen-komponen ini.

Jika anda mahukan prestasi penyejukan yang lebih baik, ASUS juga telah memperlihatkan penyejuk ROG AeroActive Cooler 7 yang mana perbezaannya dengan aksesori penyejuk AAC sebelum ini ialah ia kini hadir dengan pembesar suara terbina.

ASUS ROG Phone 7 ini juga hadir dengan dua buah bateri bersaiz 3000mAH yang digabungkan ke 6000mAH, dan dicas menggunakan sistem pengecasan 65W HyperCharge dan adalah diantara komponen yang tidak berubah berbanding dengan sebelum ini.

ASUS ROG Phone 7 Ultimate Edition dilihat hadir dengan rekaan yang hampir sama dengan ROG Phone 7 asas, tetapi hadir dengan tetingkap kipas yang diperlihatkan pada peranti ASUS ROG Phone 6D sebelum ini dan juga panel ROG Vision yang terletak di bahagian belakang peranti ini dan boleh diubah tetapan teks dan corak melalui perisian.

ASUS ROG Phone 7 kini hadir dengan dua pilihan warna, Phantom Black dan Storm White, dimana model ROG Phone 7 Ultimate hanya hadir dengan pilihan warna Stormwhite sahaja.

ASUS Malaysia menjangkakan bahawa peranti ini akan tiba di pasaran tempatan pada bulan Mei ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd