Siri komputer riba gaming gergasi Predator Helios oleh Acer cukup terkenal dengan rekaan gergasi dan merumahkan komponen-komponen berkuasa yang boleh menandingi komputer-komputer desktop.
Terkini, Acer Malaysia telah mengumumkan bahawa dua model dalam siri ini, iaitu Predator Helios 16 dan juga Predator Helios 18 akan hadir dengan kemaskini komponen CPU Intel generasi ke-13 Raptor Lake dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 didalamnya.
Untuk kedua-dua model Predator Helios dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core i9-13900HX dengan memori DDR5 sehingga 32GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB yang cukup besar untuk merumahkan permainan-permainan komputer kegemaran mereka.
Dari segi GPU pula, Predator Helios ini hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 dan NVIDIA GeForce RTX 4070 yang boleh menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi, tetapan dan kadar segar semula yang tinggi.
Kedua-dua komputer riba ini juga hadir dengan paparan IPS dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan nisbah paparan 16:10 dengan kadar segar semula 240Hz dan nilai kecerahan 500nit dan olahan gamut warna DCI-P3 sebanyak 100 peratus.
Sistem penyejukan Predator Helios ini juga telah diperhalusi menggunakan kipas penyejukan Aeroblade generasi ke-5 dan juga paip-paip haba dengan bentuk segiempat, dan juga penggunaan bahan penebat logam yang membantu dalam menyerap haba daripada komponen-komponen dengan lebih berkesan.
Acer Malaysia mengatakan bahawa pra-tempahan untuk komputer-komputer riba ini bermula hari ini melalui Acer e-store dan juga laman Shopee mereka bermula 14 April sehingga 30 April 2023 kelak, dan akan tiba di pasaran tempatan sekitar bulan Mei ini.
Empat model Predator Helios 16 dan Helios 18 akan dijual pada harga-harga berikut:
- Predator Helios 16 (97YG) – RM8999
- Predator Helios 16 (97G1) – RM11,999
- Predator Helios 18 (99FQ) – RM9999
- Predator Helios 18 (936G) – RM12,999