Acara Unbox & Discover 2023 kali ini memperlihatkan Samsung menampilkan barisan TV Neo QLED 8K dan OLED baharu. Salah satu daripadanya ialah QN900C yang menjadi variasi paling premium dengan teknologi cukup inovatif.
Ia dilengkali dengan teknologi Auto HDR Remastering dan kemampuan penaiktarafan visual (upscaling) 8K yang dikatakan mampu menawarkan pengalaman kandungan 8K berkualiti tinggi. Samsung juga telah menambah model 98-inci lebih besar untuk barisan Neo QLED 8K yang menyediakan paparan warna dan tahap perincian lebih baik.
Ini dipadankan pula dengan sokongan audio Dolby Atmos dan Q-Symphony 3.0 untuk pengalaman tontonan seperti pawagam di dalam rumah. Bagi mengembangkan lagi ekosistem 8K, Samsung turut bekerjasama dengan rakan kongsi berkaitan termasuk 8K Association. Ini bagi membolehkan Samsung menyediakan pengalaman kandungan 8K lebih menarik pada produknya berbanding sebelum ini.
Untuk barisan OLED 2023, Samsung menawarkan ketetapan warna yang sempurna menerusi cip Neural Quantum Processor 4K. Ini termasuklah keseimbangan warna yang tepat dan warna hitam yang sebenar. Terdapat tiga saiz skrin yang disediakan seperti 55-inci, 65-inci dan 77-inci yang dilengkapi rekaan serba baharu. Misalnya seperti S95C OLED TV yang menampilkan reka bentuk premium bersama sentuhan kemasan logam canggih.
Sebagai tambahan kepada produk ini, Samsung turut menunjukkan komitmennya untuk mencipta pengalaman tontonan yang lebih inklusif melalui Mod Relumino. Ia direka bentuk untuk membantu pengguna yang mengalami masalah penglihatan menonton kandungan dengan lebih mudah.