Cari @ Amanz

Siri komputer riba nipis dan ringan Acer Swift 5 merupakan salah satu daripada komputer riba paling ikonik oleh jenama tersebut, memperlihatkan bahawa sebuah komputer riba boleh hadir dengan rekaan yang serba nipis, tetapi juga masih mempunyai prestasi yang cukup hebat untuk produktiviti kelas premium.

Pada tahun ini, komputer riba tersebut nampaknya sudah dijenamakan semula sebagai Acer Swift 14, sebuah komputer nipis dan ringan yang tampil dengan rekaan rangka senipis 14.9mm dan mempunyai berat 1.2kg sahaja.

Ia juga dilengkapi dengan paparan skrin IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2560×1600 dengan nisbah paparan 16:10 untuk membolehkan pengguna memanfaatkan skrin lebih tinggi untuk menjadi lebih produktif.

Komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core i5-13500H dan juga Intel Core i7-13700H dengan pilihan memori DDR5 8-16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB bergantung kepada model yang dipilih.

Dengan cip pemprosesan yang diperkenalkan ini, Acer juga mengatakan bahawa komputer riba ini hadir dengan jangkahayat pengecasan penuh selama 10 jam dan boleh digunakan sehari suntuk tanpa masalah. Ia juga menyokong teknologi Intel Thunderbolt 4 untuk mereka yang memerlukan kadar penghantaran data yang lebih pantas dari biasa.

Komputer riba produktiviti premium Acer Swift 14 ini akan tiba di pasaran tempatan tidak lama lagi dan akan ditawarkan dalam penawaran tiga model yang berbeza:

  • Acer Swift 14 (SBLC) – RM4299
  • Acer Swift 14 (SS6R) – RM4599
  • Acer Swift 14 (77IA) – RM5399

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd