Google sedia mendominasi arena enjin carian sejak sekitar 25 tahun yang lepas, dan sering menjadi laman yang dituju untuk mencari sesuatu perkara. Namun, kebelakangan ini, dengan hadirnya ChatGPT – malah integrasi Bing dengan kecerdasan buatan, membuatkan mereka tercabar dan dilihat ramai seperti sedikit ketinggalan belakang.
Untuknya, Google sedia memperlihatkan teknologi mereka tersendiri dinamakan Bard. Namun, demo awal yang memperlihatkan jawapan yang kurang tepat membuatkan ramai skeptikal dengan persediaan Google dalam persaingan kecerdasan buatan.
Selain pengguna yang mula bergantung kepada perkhidmatan lain, jenama seperti Samsung juga turut diperkatakan sedang melihat kepada integrasi Bing menggantikan Google pada peranti mereka.
Situasi ini membawa kepada panik secara dalaman di Google. Melalui laporan terbaru NYTimes, ia dikatakan kini pasukan Google sedang membangunkan sebuah projek dalaman memfokuskan enjin carian, dinamakan Magi.
Magi memfokuskan pembangunan enjin carian serba baharu, dan menawarkan pengalaman yang lebih diperibadikan kepada pengguna berbanding apa yang terdapat pada hari ini.
Untuk makluman, DeepMind merupakan salah satu firma kajian kecerdasan buatan yang popular dan terbaik di dunia – dan ia dimiliki Google. Sehingga kini, Google berhati-hati dalam integrasi kecerdasan buatan, kerana ia masih tidak tepat menyeluruh, dan kadang-kala berat sebelah, serta tidak menawarkan informasi yang jitu.
Namun, kini Google dilihat mengambil langkah seterusnya, dalam lebih menawarkan enjin carian yang diperibadikan. Malah, projek baharu yang sedang dibangunkan ini dikatakan boleh menawarkan pengalaman seperti berbual dengan seseorang dalam mendapatkan maklumat.
Buat masa ini, tiada sebarang latar masa pengenalan untuk Projek Magi ini. Ia dikatakan pembangunan untuk Magi akan berterusan, dan pada masa yang sama sejumlah pembaharuan akan diperkenalkan pada Google Search secara berperingkat.
Pihak Google juga akan mengekalkan iklan pada carian, dan mengimplementasi ia pada rekaan enjin carian baharu kelak. Kemaskini baharu ini kelak juga dijangka akan membantu dalam menulis pengaturcaraan, serta menjawab pelbagai soalan yang diajukan – lebih kurang seperti apa yang terdapat di ChatGPT pada hari ini.
Mungkinkah dengan perkembangan baharu ini, kita mungkin melihat sesuatu seperti Jarvis pada filem Iron Man dalam dunia sebenar?