Carian
Penggunaan Ray-Tracing Popular Dalam Kalangan Pemilik Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX – NVIDIA
April 17, 2023 Nazrin

Jika anda seorang PC gamer yang tegar, dan memiliki sebuah komputer dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX, khususnya kad-kad grafik yang lebih baru dari siri GeForce RTX 3000 dan RTX 4000, NVIDIA mengatakan bahawa anda juga lebih gemar menggunakan teknologi grafik Ray-Tracing untuk menggerakkan permainan-permainan komputer kegemaran anda.

Baru-baru ini NVIDIA telah memperlihatkan suatu statistik yang cukup menarik untuk mereka yang menggunakan kad-kad grafik tersebut. Dengan siri GeForce RTX 2000, ia diperlihatkan bahawa sebanyak 37 peratus pemilik kad grafik siri kad grafik tersebut menggunakan fungsi RTX-On untuk permainan yang menyokongnya, dan 68 peratus daripada mereka menggabungkannya dengan DLSS untuk mendapatkan pengalaman gaming yang lebih lancar.

Peratusan ini meningkat dengan mendadak apabila memperlihatkan penggunaan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 dan GeForce RTX 4000 yang jauh lebih berkuasa. Dengan RTX 3000, 56 peratus daripada pemilik kad grafik tersebut mengaktifkan ciri tersebut untuk sesi-sesi permainannya dan 71 peratus daripada pengguna siri kad grafik tersebut menggabungkannya dengan fungsi DLSS 2.0.

Dengan pelancaran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 pula, seramai 83 peratus daripada pemilik kad grafik tersebut menggunakan ciri Ray-Tracing dan 79 daripada pengguna-pengguna ini memadankannya dengan ciri DLSS untuk pengalaman gaming yang lebih lancar dan dengan kadar bingkai yang tinggi.

Slaid tersebut juga menunjukkan bahawa apabila ciri Ray-Tracing masa nyata diperkenalkan pada tahun 2018, hanya empat permainan komputer menyokongnya, dan kini, dengan teknologi Ray-Tracing terbaru, lebih 400 permainan komputer hadir dengan sokongan teknologi ini.

Komen