Cari @ Amanz

Siri Huawei Nova 11 telah dilancarkan secara rasminya di China pada hari ini. Sebanyak tiga model diumumkan yang terdiri dengan Huawei Nova 11, Huawei Nova 11 Pro dan Huawei Nova 11 Ultra. Ketiga-tiganya berkongsi sejumlah besar perkakasan dalaman yang sama namun masih terdapat perbezaan ketara untuk beberapa perkara.

Bermula dengan Huawei Nova 11, ia menggunakan skrin sejenis rata dan berlubang untuk kamera hadapan 60MP di hadapan. Skrin ini sebesar 6.7-inci OLED beresolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 778 4G dan pilihan storan dalaman mencapai 256GB. Tidak dapat dipastikan pula mengenai kapasiti memori yang diberikan.

Panel belakang pula menempatkan modul kamera berbentuk bujur dengan sistem tri-kamera 50MP + 8MP + 2MP. Bateri sebesar 4500mAh disertakan turut menyokong sistem pengecasan pantas 66W. Telefon juga didatangkan dengan pengimbas cap jari di skrin dan menyokong sambungan bluetooth 5.2.

Seterusnya Huawei Nova 11 Pro yang dilengkapi tubuh melengkung di hadapan dan belakang. Ini dicantum pula dengan skrin sejenis berlubang dengan dwi-kamera swafoto 60MP + 8MP. Seterusnya sistem imbasan cap jari di skrin turut diberikan bagi tujuan sekuriti.

Cip Snapdragon 778G 4G digunakan sebagai tunjang utama peranti. Ini digabungkan pula dengan storan sehingga 512GB, namun kapasiti memori tidak pula didedahkan. Kamera utama terdiri dengan 50MP + 8MP + 2MP dan bateri pula sebesar 4500mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 100W.

Menariknya lagi mengenai variasi pro apabila panel belakang berasaskan kulit digunakan. Ini berbeza dengan variasi stadard yang dihiasi dengan panel belakang berkilat seperti generasi sebelum ini.

Akhir sekali ialah Huawei Nova 11 Ultra. Kalau diikutkan, ini adalah kali pertama Huawei memperkenalkan variasi Ultra untuk rangkaian peranti pintar Nova. Sejumlah besar perkakasan dalaman adalah sama seperti variasi pro, di mana skrin 6.7-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz digunakan pada peranti.

Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 778 4GB dan storan dalaman mencapai 512GB. Pilihan memori sekali lagi tidak didedahkan. Sementara itu bateri pula sebesar 4500mAh yang juga menyokong pengecasan pantas 100W.

Konfigurasi kamera utama terdiri dengan 50MP + 8MP + 2MP namun kelebihan pada peranti terletak pada kebolehan apertur boleh berubah di antara f/4.0 dan hingga ke f/1.4. Telefon ini juga menyokong sistem panggilan telefon menggunakan satelit. Ini bermakna mesej boleh dihantar menggunakan satelit jika tiada rangkaian selular atau WiFi.

Harga jualan Nova 11 bermula RMB2499 (~RM1607), sementara itu Nova 11 Pro pula bermula RMB3499 (~RM2250). Seterusnya Nova 11 Ultra pula ditawarkan bermula RMB4449 (~RM2861). Tiada maklumat mengenai ketersediaan untuk pasaran global yang diketahui setakat ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd