OnePlus Ace 2 telah dilancarkan sebelum ini dengan rekaan yang menyerupai sebuah OnePlus 11. Dalam masa sama, ia juga merupakan OnePlus 11R yang dijenamakan semula untuk pasaran global. Cip Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan sebagai tunjang utama yang dianggap masih lagi berkuasa meskipun sudah satu generasi ke belakang.

Terbaharu OnePlus Ace 2 Genshin Impact Limited Edition telah diperkenalkan sebagai satu lagi pilihan baharu yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna. Ia dilengkapi kemasan serba merah yang bertemakan Mao Xiangling yang merupakan watak dengan unsur api di dalam permainan Genshin Impact.

Situasi ini selari dengan kemasan tubuh peranti yang menggunakan warna merah menyala seakan-akan api yang menyala. Ia menjadi lebih menarik apabila turut dipadankan dengan panel belakang yang diperbuat daripada bahan kulit tahan haba dan mesra kulit secara semula jadi.

Ia turut menampilkan garis berlian yang menjadi nilai tambahan menarik pada peranti. Bukan setakat itu, peranti ini juga didatangkan dengan kotak bungkusan khusus yang direka dengan pemegang logam. Beberapa aksesori menarik juga diberikan seperti poster, pelekat dan kad permainan menarik yang bertemakan watak Mao Xiangling itu sendiri.


Tiada perubahan untuk perkakasan dalaman peranti. Cumanya ia telah diubahsuai dengan pelbagai antaramuka, latar belakang, tema dan runut bunyi yang sesuai dengan watak Mao Xiangling. Selain daripada itu, kapasiti memori juga dipertingkatkan kepada 18GB RAM dan storan dalaman pula 512GB. Peranti dijual di China pada RMB3699 (~RM2,388).