Apabila bercakap mengenai insiden godaman dan pencurian data yang dilakukan oleh pihak kerajaan, nama Israel pasti akan disebut juga kerana kerajaan tersebut merumahkan dua syarikat pembangun perisian godaman yang cukup terkenal kerana insiden-insiden sebegini, iaitu NSO Group dan juga QuaDream.
Microsoft, bersama-sama dengan NGO pemerhati internet Citizen Lab baru-baru ini telah mengeluarkan laporan yang mengaitkan perisian yang dibangunkan oleh QuaDream dengan sejumlah insiden godaman peranti yang berlaku di seluruh dunia, khususnya di Amerika Syarikat dan juga Kesatuan Eropah.
Melalui insiden-insiden ini, ia telah dilaporkan bahawa lebih dari 10 insiden telah disahihkan dimana peranti wartawan dan pihak pembangkang politik khususnya telah digodam dan maklumat sulit didalam peranti tersebut telah dicuri menggunakan perisian QuaDream.
QuaDream sebelum ini telah membangunkan sebuah perisian hasad yang boleh menjangkiti peranti tanpa memerlukan input daripada pemilik peranti. NSO Group, sebuah lagi syarikat pembangun perisian godaman yang beroperasi dari Israel juga mempunyai keupayaan ini.
Walaupun begitu, QuaDream dilihat sedang menghadapi masalah mereka sendiri. Tinjauan daripada beberapa pihak media memperlihatkan bahawa QuaDream sedang dalam proses menggulung tikar, khususnya kerana insiden-insiden yang berlaku ini menyebabkan nama mereka terpalit dan tidak lagi boleh dipercayai dalam dunia pengintipan.
Kesemua pekerja QuaDream dilaporkan sudahpun dipecat dan akan dibawa ke mahkamah, manakala pelabur syarikat tersebut pula dikatakan sedang cuba untuk menjual harta intelek syarikat tersebut.