Cari @ Amanz

Xiaomi 13 Ultra dilancarkan secara rasminya hari ini selepas beberapa minggu rekaan serta maklumat mengenainya tertiris ke arena web. Peranti paling mercu ditawarkan oleh Xiaomi tahun ini dilengkapi skrin 6.73″ AMOLED LTPO 120Hz yang boleh mencapai keterangan maksimum 2600 nits. Ini menjadikannya telefon pintar dengan keterangan skrin paling tinggi dalam sejarah telefon mudah alih.

Skrin ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 5000 mAh. Bateri ini menyokong pengecasan berwayar 90W, pengecasan nirwayar 50W dan pengecasan berbalik 10W. Peranti ini mempunyai mod hibernasi yang membolehkan peranti beroperasi sehingga 1 jam apabila bateri mencapai tahap 1%.

Sistem kuad kamera 13 Ultra pastinya adalah tumpuan orang ramai. Ia dilengkapi lensa sudut lebar 50MP 1″ Sony IMX 989 dengan OIS, ultra sudut lebar 50MP Sony IMX 858, telefoto 50MP Sony IMX 858 zum optikal hingga 3.2X dengan OIS, dan satu lagi lensa telefoto 50MP Sony IMX 858 dengan zum optikal sehingga 5X zum optikal dengan OIS. Kamera utama ini boleh melakukan zum digital sehingga 120X.

Di hadapan pula sebuah sensor 32MP disertakan untuk mengambil gambar swafoto. Lensa sudut lebar mempunyai saiz apertur yang boleh diubah dari f/1.9 ke f/4.0 untuk mengawal kemasukan cahaya ke sensor.

Lensa Summicron yang digunakan pula menurut Xiaomi mempunyai lapisan yang akan memastikan ia tidak mudah tercalar. Sasaran Xiaomi pada 13 Ultra ialah untuk mengembalikan semula kemampuan fotografi sebenar dan bukannya fotografi perkomputeran yang semakin popular sekarang.

Dari segi rekaan ia memang nampak premium kerana kemasan kulit vegan di bahagian belakang. Meneruskan rekaan 12S Ultra tahun lalu yang juga kelihatan seperti sebuah kamera analog SLR klasik. Tubuh peranti juga melepasi piawaian IP68 seperti dua model Xiaomi 13 yang dilancarkan sebelum ini.

Peranti menggunakan pelancar MIUI 14 yang berasaskan Android 13. Masih terdapat sistem audio stereo bersama dengan sokong HDR Dolby Vision serta HDR10+ yang memuaskan. Pengimbas cap jari bawah skrin melengkapi spesifikasi Xiaomi 13 Ultra.

Di China harga jualan adalah seperti di bawah dalam pilihan Olive Green, Professional Black dan White. Peranti disahkan akan memasuki pasaran global cuma tiada maklumat bila ia akan memasuki pasaran Malaysia pada waktu ini.

  • Xioami 13 Ultra (12/256 GB)- RMB 5999 (~RM 3868)
  • Xiaomi 13 Ultra (16/512 GB) – RMB 6499 (~RM 4191)
  • Xiaomi 13 Ultra (16/1000 GB) – RMB 7299 (~RM 4707)
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd